Bab 24 - Bintang Yang Ku Gapai

 Kafe kecil di sudut Jalan Meranti itu masih seperti dulu — tenang, wangi kopi arabika, dan lagu jazz lembut mengisi ruang.


Emma duduk berdepan dengan Inspektor Daniel. Cawan kopinya masih berasap, dan senyuman di wajahnya jauh lebih tenang berbanding dua bulan lalu.


“Jadi… ini janji yang saya kena tunaikan,” kata Emma sambil mengangkat cawan kopi.


Inspektor Daniel tersenyum sambil bersandar ke belakang. “Saya ingat awak dah lupa.”


“Mana boleh lupa. Kan saya dah kata, bila semuanya selesai... kita akan minum kopi sama-sama. Dan sekarang, kes kehilangan Tamara, pembunuhan Mona — semua dah selesai.”


Daniel mengangguk. Matanya merenung Emma dengan pandangan yang tidak lagi hanya milik seorang pegawai penyiasat. “Dan satu lagi kes pun dah selesai.”


Emma mengerutkan dahi sedikit. “Kes apa?”


“Kes hati saya yang lama tergantung.”


Emma tergelak kecil, pipinya merah. Dia menghirup kopi perlahan. “Tapi kes tu... awak pun kena bertanggungjawab. Jangan lari ke luar negara dan tinggalkan mangsa macam tu saja.”


Daniel ketawa kecil, kemudian meletakkan sesuatu di atas meja — dua tiket penerbangan ke Melbourne.


“Saya tak akan lari. Tapi saya nak bawa awak sekali. Tiga tahun tu bukan sekejap. Emma... kahwin dengan saya?”

Emma terdiam. Hatinya seperti meletup halus. Dia angguk perlahan, senyum sambil bersuara lembut.

"Jumpa ayah Dan ibu saya " 

"Itu pasti.....malam ni saya bawa ibu ke rumah awak." 

“Dengan syarat... kopi tiap pagi  awak yang belanja.” kata Emma. 

Inspektor Daniel ketawa kecil sambil mengerdipkan matanya dan membuat isyarat ok dengan jarinya. Ada sinar nakal yang bermain di hujung lirikan mata itu — cukup untuk membuat jantung Emma berdetak sedikit lebih laju.

Dan pada saat itu, Emma tahu…

Itulah mata yang telah membuat hatinya jatuh tanpa sempat dia bersedia.

Mata yang tidak pernah menjanjikan apa-apa… tetapi diam-diam memanggilnya untuk percaya.

Emma diam sejenak. Dia tunduk sedikit sambil mengacau kopi hitamnya. Menyembunyikan rasa debar di jantungnya. 

Hasratnya untuk mengetahui cerita Daniel begitu membuak. Ia bukan sekadar ingin tahu — tapi satu keperluan. Dia perlu tahu tentang kisah silam lelaki itu.

Kerana semakin hari, hatinya makin sukar berbohong. Dia bukan sekadar menyukai Daniel. Dia ingin memahami lelaki itu — seutuhnya. Apa yang pernah dilalui. Apa yang pernah hilang. Dan apa yang masih tinggal di hati.

Emma menoleh, memandang wajah Inspektor Daniel yang kelihatan tenang sambil memandang ke luar jendela kafe.

Tenang... tapi menyimpan sesuatu.
Dan Emma tahu, dia harus bertanya.

“Daniel...”
Suara Emma perlahan. Hampir berbisik.
“Kalau saya tanya sesuatu… awak akan jawab dengan jujur?”

Daniel berpaling, senyumnya sedikit terhakis, tapi matanya tetap redup.
“Kalau awak sedia untuk dengar… saya sedia untuk cerita.”


“Daniel... malam tu, awak ada cakap sesuatu. Tentang... seseorang yang dah tak ada.”

Inspektor Daniel angkat wajahnya perlahan. Pandangan matanya tidak tajam seperti biasa, tetapi sayu. Dalam. Tenang.

“Awak ingat, ya,” katanya.

Emma mengangguk. “Saya tak nak paksa awak cerita. Tapi kalau awak nak... saya sudi dengar.”

Daniel menarik nafas. Kemudian dia letakkan sudu, tangannya menyentuh cawan — bukan untuk minum, tapi sekadar mencari kekuatan.

“Sepuluh tahun dulu... saya pernah bertunang,” katanya. Suaranya mendatar, seolah-olah mengulang satu kisah yang telah lama disimpan. “Namanya Nadra. Kami kenal semasa saya masih di luar negara. Bila saya balik ke Malaysia, kami rancang untuk bina hidup sama. Masa tu saya baru ditawarkan jawatan sebagai inspektor di Kuantan.”

Dia berhenti seketika. Emma tidak menyampuk.

“Tapi… tak sempat,” sambungnya lagi, suara makin perlahan. “Dia meninggal dalam kemalangan jalan raya seminggu sebelum majlis.”

Emma menutup mulutnya dengan tangan. “Daniel… saya—”

Daniel menggeleng, tenang.

“Dah lama berlalu. Tapi saya… tak pernah betul-betul buka hati saya lepas tu. Seolah-olah satu bahagian dalam hidup saya terkunci… sampai saya jumpa awak.”

Emma terdiam. Air matanya bergenang, bukan kerana cemburu atau sedih — tapi kerana dia faham. Dia tahu kini mengapa Daniel begitu tabah, begitu tenang — kerana dia pernah melalui badai yang lebih besar dari kata-kata.

“Saya bukan Nadra,” kata Emma perlahan. “Saya takkan pernah ganti tempat dia.”

Daniel tersenyum kecil. “Saya tak perlukan ganti, Emma. Saya cuma nak peluang. Peluang baru… dengan awak.”

Emma angguk perlahan. “Kalau begitu… kita bina cerita kita sendiri. Dari kosong. Bermula dengan secawan kopi ini.”

Daniel ketawa kecil, lalu mengangkat cawan.

“Untuk Nadra. Dan untuk kisah baru kita.”

Mereka bersulang senyap-senyap. Dan di luar tingkap kafe, langit merah jingga berubah menjadi senja yang memeluk — tanda bahawa malam akan datang... tapi harapan tetap menyala.


-----

Mentari hampir tenggelam di ufuk barat, mewarnai langit dengan semburat jingga keemasan. Pasir pantai membelai kaki mereka setiap kali ombak kecil menyapa, perlahan dan lembut. Di kejauhan, kelihatan beberapa keluarga sedang berkelah, anak-anak berlari sambil ketawa riang, dan pasangan-pasangan lain menikmati pemandangan matahari terbenam.

Tamara duduk bersila di atas tikar yang dibentang Armand, betul-betul di bawah sebatang pokok rhu yang tinggi. Rambutnya yang terurai ditiup angin laut, membuatkan Armand hanya mampu memandang seketika sebelum dia menunduk, menyembunyikan senyum.

"Kenapa pandang macam tu?" Tamara menoleh dengan senyuman nakal.

Armand hanya geleng kepala perlahan. "Tak percaya… awak dah betul-betul ada depan saya. Bukan di kaca TV, bukan dalam video temu bual. Tapi... sini. Dengan saya."

Tamara tergelak kecil, lalu memeluk lutut. "Dulu, masa tengok awak kejar-kejar berita kat skrin TV, saya fikir... 'mamat ni tak pernah penat ke?'"

Armand tertawa. "Kalau tahu satu hari nanti penyanyi terkenal yang akan jadi 'berita' paling penting dalam hidup saya... saya berhenti kerja awal-awal."

Mereka sama-sama ketawa, kemudian diam seketika, menikmati angin laut yang nyaman. Sehelai daun rhu jatuh perlahan di antara mereka.

Tamara menarik nafas dalam-dalam. "Armand... awak betul-betul yakin dengan semua ni?"

"Yakin," jawabnya pendek, tenang. "Bukan sebab saya nak awak jadi milik saya saja. Tapi sebab saya nak jadi tempat awak pulang, bila dunia rasa terlalu bising. Saya tak boleh janjikan bahagia setiap hari, tapi saya nak cuba… setiap hari."

Tamara memandang wajah lelaki itu lama-lama. Matanya bersinar. "Saya takut."

"Saya pun," akui Armand jujur. "Tapi saya lebih takut kehilangan peluang untuk bahagiakan awak."

Sekali lagi mereka diam. Tapi kali ini diam itu terasa penuh makna. Ombak terus memukul lembut ke pantai, seperti muzik latar yang memahami perasaan dua hati yang sedang terbuka.

Di langit, bintang mula muncul satu persatu.

"Besok… lepas majlis tu, kita takkan sama macam dulu lagi, kan?" tanya Tamara perlahan.

Armand mengangguk. "Tapi kita akan jadi sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah."

Tamara duduk memeluk lutut, pandangannya dilempar jauh ke tengah laut. Beberapa buah bot kecil meluncur perlahan, sementara sebuah kapal persiaran berlabuh megah — disaluti cahaya lampu berwarna-warni yang memantul di permukaan air.

Armand mencuri pandang wajah Tamara yang tampak ayu, dengan beberapa helai rambut jatuh menyentuh pipinya, lembut menari ditiup angin. Wajah itu sudah lekat di benaknya. Kulitnya putih mulus, hidungnya mancung sempurna. Armand terpaku. Dia tidak sanggup mengalihkan pandangan dari pemandangan seindah itu.

Tiba-tiba, Tamara menoleh. Mata mereka bertemu — lama. Dan dalam diam, hati mereka saling berbicara tentang cinta yang tidak perlu diucap.

“I love you, Ara…” bisik Armand akhirnya, tangannya perlahan menyeka rambut Tamara yang menutupi pipi gadis itu.

Tamara memegang tangan Armand. Pandangan mereka masih bertaut, tidak berganjak.

Perlahan-lahan, Armand membawa jari-jemari Tamara ke bibirnya, lalu mengucupnya dengan lembut.

“I love you too, Armand,” balas Tamara, suaranya nyaris berbisik.

Angin pantai membelai mesra dua insan yang hatinya telah menjadi satu.


Tamara tersenyum. Matanya berkaca. Dia menyandarkan kepala ke bahu Armand. Dan buat pertama kalinya, dia biarkan dirinya percaya — bahawa mungkin, cinta itu memang wujud... bila sampai pada waktu yang tepat.

------


Suasana rumah kayu dua tingkat milik Tuan Haji Taufiq Abraham petang itu cukup meriah. Udara desa yang segar seakan berbaur harum dengan aroma masakan kampung yang disediakan secara gotong-royong. Tetamu mula memenuhi halaman rumah — sebahagian duduk di bawah kanopi yang dihias indah dengan langsir putih dan bunga segar, sebahagian lagi beramah mesra di serambi rumah. Hari itu, majlis pertunangan anak tunggal kesayangan Tuan Haji Taufiq, Tamara, dengan jejaka pilihan hatinya, Armand Zulkifli, menjadi tumpuan seluruh kampung.




Tamara tampak anggun di atas pelamin dalam baju kurung moden berwarna kuning lembut. Selendang krim berkerawang dengan manik-manik perak menutup rambutnya yang ditata rapi oleh jurusolek. Di sisinya, Zaidah duduk tenang dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Wanita itu juga kelihatan ayu dalam abaya maroon bersulam benang emas di hujung lengan dan bajunya. Tudung chiffon berwarna pink lembut tersusun labuh menutupi dadanya, menambahkan keanggunannya.

Beberapa ketika kemudian, Zaidah bangun dari pelamin lalu mempelawa ibu Armand, Puan Rubiah, untuk naik ke pelamin. Dengan senyum penuh makna, Puan Rubiah menyarungkan cincin ke jari manis Tamara, menandakan ikatan pertunangan yang kini terjalin.

Tamara kelihatan gembira. Senyuman manis sentiasa menghiasi bibirnya. Matanya berkaca saat dia tunduk mencium tangan ayah dan ibu tirinya, kemudian memeluk mereka penuh rasa syukur, sambil mendengar ucapan tahniah yang tulus dari kedua-duanya.


Tamara rasa sungguh terharu dan gembira hari itu kerana di hari bahagianya turut hadir memeriahkan suasana ialah keluarga angkatnya — Pak Osman, Mak Zainab dan Linda — yang sudah dianggap seperti darah daging sendiri. Turut hadir ialah Inspektor Daniel dan Emma, pasangan yang baru seminggu menjadi pengantin baru yang wajah mereka berseri-seri menebarkan aura bahagia. Cikgu Hafiz pula datang bersama isterinya, Puan Salmah, dan ketiga-tiga anak mereka yang riang bermain di sekitar laman.

Beberapa jiran tetangga dan pekerja ladang tidak ketinggalan dijemput, menjadikan suasana petang itu terasa meriah namun tetap sederhana dan harmoni — seindah impian yang perlahan-lahan menjadi nyata. Di celah keramaian, dua orang wartawan — Faris dari majalah Citra Desa dan Liyana dari Suara Rakyat — hadir sebagai tetamu istimewa atas undangan Armand sendiri. Kedua-duanya sahabat baik Armand sewaktu belajar dahulu. Mereka tidak datang dengan tangan kosong — seorang jurugambar profesional, Zack, turut bersama mereka, merakam detik-detik manis penuh makna dari segenap sudut.

Zack sempat berkata sambil tersenyum, “Majlis yang ringkas tapi penuh jiwa. Cahaya petang ni pun sempurna sekali. Macam cerita dalam filem.”

Armand hanya tersenyum dan mengangguk, memandang ke arah Tamara yang sedang berbual dengan Mak Zainab dan Linda — perempuan yang kini sah menjadi tunangannya, yang wajahnya bersinar dalam pakaian lembut warna kelam manis, dan hati yang sedang dilimpahi syukur.

-----

Bulan mengintai malu di balik awan, dan bintang-bintang mula berkelip tenang di langit malam. Di halaman rumah yang luas itu, suasana masih meriah. Terdengar suara gelak ketawa keluarga yang sedang menikmati hidangan BBQ — aroma daging panggang dan ayam berempah memenuhi udara malam.

Di satu sudut yang sedikit terlindung, di bawah rimbunan pokok Sena yang tua, Tamara dan Armand duduk bersebelahan di bangku kayu yang biasa menjadi tempat santai keluarga. Jarak di antara mereka masih wujud — satu tanda hormat akan batas sebelum akad yang sah. Namun, keakraban itu tidak perlu disentuh fizikalnya; cukup dengan pandangan mata yang mengerti, dan hati yang sama berdebar.

Armand mendongak ke langit.
“Nampak bintang paling terang tu?” katanya perlahan, menunjuk ke arah timur laut. “Itu mungkin Vega. Antara bintang paling cerah di malam ini.”

Tamara turut mendongak, senyum menghiasi wajahnya.
“Cantik,” bisiknya. “Kadang-kadang saya rasa, bintang tu macam harapan.”

Armand memandang ke arahnya. “Harapan?”

Tamara mengangguk.
“Dulu... waktu saya masih remaja dan hidup saya belum tentu arah, saya suka pandang langit waktu malam. Saya selalu cakap dalam hati... satu hari nanti, saya nak gapai bintang saya sendiri. Saya nak jadi seseorang. Saya nak dicintai dengan ikhlas, bukan kerana simpati.”

Armand tidak menyela. Dia membiarkan Tamara terus berkata-kata.

Tamara menarik nafas dalam, kemudian menghela perlahan.
“Dan malam ini… saya sedar, bintang itu akhirnya sudah saya gapai. Cita-cita saya, cinta saya… semua ada di depan mata saya sekarang.”

Armand tersenyum, namun matanya berkaca.
“Saya rasa bertuah jadi sebahagian daripada bintang tu.”

Tamara tersenyum manis, kemudian menoleh ke arah Armand.
“Bintang yang ku gapai… bukan sekadar mimpi. Tapi ia benar-benar jadi nyata.”

Suasana hening sebentar, hanya ditemani bunyi cengkerik dan unggun api dari belakang rumah. Dalam hati masing-masing, mereka tahu — ini bukan pengakhiran. Ini adalah permulaan bagi sebuah kisah baru.

TAMAT




Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini