Bab 3 - Seagung Cinta Ini

 Cahaya putih samar-samar menyapa matanya yang masih berat. Sofea membuka kelopak mata perlahan-lahan. Bau antiseptik dan bunyi bising yang jauh di luar sana segera menyedarkannya — dia kini berada di sebuah bilik wad rawatan di hospital.


Kepalanya masih pening. Dada masih sesak. Namun, segalanya perlahan-lahan kembali menerpa ke dalam kotak fikirannya. Wajah ibu. Wajah ayah. Darah. Kain putih. Mayat ketiga yang belum sempat dia lihat.


Tiba-tiba, jantungnya berdegup laju. Farid.


“Farid...” bisiknya hampir tidak kedengaran.


“Alhamdulillah... dia dah sedar,” ujar satu suara lembut di sisi. Suara itu datang daripada Natrah, sepupunya yang sejak kecil dianggap seperti kakak sendiri. Matanya merah dan sembap. Tangannya menggenggam erat jari Sofea. Nadia adiknya menangis teresak-esak di sisinya. 


“Kau pengsan masa nak camkan jenazah Farid...” sambung Natrah perlahan, suaranya bergetar.


Sofea mengalihkan pandangan ke arah siling. Air mata kembali mengalir membasahi pipinya tanpa suara. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Nafasnya pendek-pendek. Dada terasa seperti dihempap batu yang besar.


“Nak minum air dulu?” tanya Nadia.


Sofea hanya menggeleng.


Tak lama kemudian, Pak Ngah tiba bersama isterinya. Wajah mereka jelas menunjukkan duka yang sama. Mereka memeluk Sofea erat, dan dalam pelukan itu, Sofea akhirnya menangis teresak-esak. Tangisan itu seperti pecahnya empangan yang lama menahan deras.


“Kami akan uruskan semuanya, nak,” ujar Pak Ngah dengan nada tenang tapi berat. “Jenazah ibu dan ayah kamu akan dibawa pulang ke rumah petang ni.”


Sofea mengangguk lemah.


Namun, Pak Ngah menyambung, “Tapi... jenazah Farid akan dibawa ke rumah keluarganya di Shah Alam. Mereka nak uruskan pengkebumian di sana.”


Sofea terdiam.


Walaupun masuk akal, hatinya tetap terasa kosong. Jasad yang tidak sempat dia tatap buat kali terakhir itu kini akan pergi terus — bukan ke rumahnya, bukan ke sisinya, tetapi ke tempat yang sudah bukan lagi miliknya.

---


Petang itu, dua van jenazah tiba di rumah banglo milik keluarganya. Ramai jiran dan saudara-mara telah berkumpul. Bacaan Yasin berkumandang lembut di ruang tamu, mendakap suasana rumah yang masih dibalut kabus duka.


Sofea duduk di sisi Adam yang masih belum pulih sepenuhnya. Tubuh kecil itu tidur dalam pelukannya, wajahnya tenang walaupun kulitnya masih panas. Dalam hati Sofea, ada luka yang terlalu dalam untuk diungkap. Ibu, ayah... dan Farid, pergi dalam sekelip mata.


Dia cuba berbisik dalam hati bahawa ini semua ujian. Tapi sebagai manusia biasa, rasa kehilangan itu mencengkam kuat. Rasa sunyi menyelinap tanpa ampun.


Matanya menjeling telefon bimbit di atas meja. Tiada pesanan dari keluarga Farid. Tiada berita lanjut tentang pengkebumian. Tiada ajakan untuk turut sama ke Shah Alam. Mungkin kerana mereka juga masih terkejut. Atau mungkin… kerana dia bukan lagi sebahagian daripada mereka.


Bekas tunang. Bukan balu. Bukan isteri. Tiada hak. Tiada tempat. No


---


Sofea berdiri di pintu bilik Adam, memerhatikan si kecil yang tidur lena di katilnya. Nafas Adam tenang. Seolah-olah seluruh dunia dalam dirinya masih belum berubah. Tapi dunia Sofea sudah terbalik, porak-peranda.


"Ok Bu… Sofea akan jaga Adam macam baby Sofea sendiri..."


Dan janji itu kini menjadi nyata.


Malam itu, Sofea duduk sendirian di bilik tidurnya, memandang kosong ke arah sejadah yang masih terbentang.  Dalam diam, dia sedar — hidupnya kini telah berubah selama-lamanya.

"Ibu... Ayah...

Sofea rindu sangat. Sofea masih belum kuat...

Sofea belum bersedia untuk kehilangan ibu dan ayah.

Siapa lagi tempat Sofea mengadu kalau Sofea jatuh sakit?

Siapa nak tenangkan Sofea kalau Adam mengamuk lagi?

Sofea takut... sangat takut.

Dunia ini rasa terlalu sunyi tanpa ibu dan ayah."

Sofea duduk memeluk lutut di tepi katil dalam kamar yang suram. Hanya cahaya lampu jalan yang menembus tirai nipis, membentuk bayang-bayang murung di dinding. Nafasnya bergetar, matanya berkaca.

"Ya Allah... Ya Tuhanku...

Aku tahu, Farid bukan lagi milikku. Kau lebih menyayanginya. Aku redha... sungguh, aku cuba untuk redha."

"Tapi hatiku... hatiku ini tidak bisa mendustakan rindu yang bersarang. Setiap detik, bayang wajahnya datang menghantui. Senyumnya, suaranya... semua masih segar dalam ingatan."

"Dan dalam setiap doa, tanpa gagal... aku tetap menyebut namanya. Hanya itu yang tinggal. Doa yang tak berjawab... dan rindu yang tak berpenghujung.

Sofea memejamkan mata, membiarkan air mata mengalir perlahan. Rasa kehilangan itu masih mencengkam — meskipun hatinya tahu, Farid telah pergi untuk selama-lamanya.









🔶🔶🔶🔶

Tiga pusara baru itu berdiri senyap, seolah-olah menantinya sejak awal pagi lagi.

Setelah menghantar Helmy ke Lapangan Terbang Subang untuk kembali ke USM di Pulau Pinang, Sofea memandu sendirian ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Taqwa — tempat ibu, ayah dan Farid disemadikan. Walaupun ini hanya ziarah keduanya sejak hari pengkebumian, rasa rindu dan kehilangan itu tidak pernah surut.

Dia memarkir keretanya di kawasan yang disediakan di luar pagar. Tangan kanannya memegang sebotol besar air mineral. Di tangan kiri, sejambak bunga segar yang dibelinya malam semalam di pasar malam. Bunga lili dan melur — kesukaan ibunya. Angin pagi menyapu lembut pipinya, tetapi tidak cukup kuat untuk menghapuskan rasa sesak yang bersarang di dada.

Langkahnya longlai menuruni cerun kecil ke kawasan perkuburan. Dia berhenti di hadapan pusara ibunya, menyiram air, meletakkan bunga dan mengusap batu nisan yang masih baru. Kemudian ke pusara ayahnya. Dan akhirnya, ke pusara Farid.

Sofea berdiri lama di situ.

Memandang nama Farid pada batu nisan membuatkan segalanya terasa seperti mimpi buruk yang masih belum mahu berakhir. Tiga minggu lagi mereka sepatutnya diijab kabul. Tapi takdir telah memilih jalan yang lain — satu jalan yang langsung tidak pernah dia bayangkan.

> "Ibu, Ayah, Farid... doakan Sofea kuat. Sofea tak tahu nak mula dari mana. Adam menangis malam tadi. Dia cari Ibu. Dia panggil Ayah... Tapi suara dia terlalu kecil, terlalu kabur. Sofea tak tahu nak pujuk macam mana..."



Air matanya jatuh satu persatu ke tanah. Dia duduk bersila perlahan-lahan. Tidak peduli bajunya sedikit kotor. Dia mahu habiskan masa sedikit lagi dengan mereka — dalam diam.

Sofea melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir dua jam dia berada di situ.
Sofea melangkah longlai ke keretanya setelah hampir sejam di tanah perkuburan. Jiwanya semakin sarat. Tubuhnya letih menahan segala kesedihan yang belum sempat dirawat. Dia membuka pintu kereta perlahan-lahan dan duduk di tempat pemandu tanpa terus menghidupkan enjin.

Tiba-tiba matanya menangkap kelibat seseorang sedang berjalan masuk ke kawasan perkuburan — seorang wanita muda berpakaian longgar dan berjubah hitam. Rambutnya diselubungi selendang kelabu asap. Langkahnya tampak ragu-ragu, seolah-olah dia sedang memikul beban yang berat di bahunya.

Sofea mengecilkan matanya, memandang dari cermin sisi. Wanita itu berhenti — tepat di hadapan pusara Farid.

Dada Sofea berombak. Siapa dia?

Dia tidak mengenali wanita itu. Seingatnya, wanita itu juga tidak kelihatan sewaktu hari pengkebumian tempoh hari. Dengan perasaan bercampur-baur, Sofea terus memerhati dari dalam kereta. Dia tidak turun. Tidak bertanya. Tidak menyapa.

Dia hanya diam.

Perlahan-lahan wanita itu meletakkan bunga di atas kubur Farid. Lama dia berdiri di situ — seolah-olah sedang berbicara dengan si mati dalam bahasa yang Sofea tidak akan pernah faham. Wanita itu kelihatan mengesat matanya.

Dan dalam diam itu, satu rasa yang sangat asing merayap ke dalam hati Sofea. Cemburu? Curiga? Atau mungkin… petanda bahawa ada sesuatu yang dia belum tahu? Siapakah wanita itu?

Wanita itu tidak lama di situ. Dia berpaling dan berjalan keluar — tanpa menoleh ke arah kereta Sofea. Dan ketika itu jugalah Sofea menghidupkan enjin dan memandu keluar, tapi bukan sebelum sempat menoleh ke cermin pandang belakang untuk melihat kelibat wanita itu buat kali terakhir.


Setibanya di rumah, Sofea terus berlari masuk ke dalam bilik tanpa sepatah kata. Nadia yang sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu hanya mampu memandang dengan dahi berkerut. Riak wajah kakaknya jelas tidak seperti biasa. Walaupun tidak bertanya, hati kecil Nadia mula dilanda resah.

Sofea menghempaskan tubuh ke atas katil. Selendang di tangannya digenggam erat. Nafasnya turun naik, menahan esakan yang makin menggila. Dadanya terasa sesak. Fikirannya kusut, jiwanya berkecamuk. Segala persoalan yang menghantui mindanya kini menjerit minta dilepaskan.

> "Apakah selama ini aku telah dibohongi...? Atau... akukah sebenarnya yang merampas Farid daripada wanita itu?"
"Kalau benar wanita itu isterinya... mengapa Farid teruskan pertunangan ini? Kenapa dia lamar aku seolah-olah tiada apa yang berlaku di belakang tabir?"
"Dan kalau benar... mengapa keluarganya sendiri datang meminang aku? Adakah mereka tidak tahu? Tapi... bagaimana mungkin? Mustahil."
"Yang paling menyakitkan... sampai sekarang tiada seorang pun daripada keluarga Farid menghubungi aku. Tiada khabar, tiada penjelasan. Seolah-olah aku ini tidak pernah wujud dalam hidup mereka... Seolah-olah aku ini hanya bayang-bayang yang tak penting."



Air mata yang sejak tadi ditahan akhirnya tumpah deras. Tubuhnya menggigil menahan sebak yang terlalu berat untuk dipikul sendiri. Hati yang masih luka kini dilukai lagi oleh tanda tanya yang membelit jiwa.

Tangisan Sofea sampai ke telinga Nadia. Dengan cemas, dia bangkit dan terus ke bilik kakaknya. Beberapa kali dia mengetuk perlahan.

> "Long... Long, kenapa ni?" suara Nadia kedengaran perlahan dan lembut. "Buka pintu, Long..."



Panggilan itu tidak dijawab. Namun, beberapa detik kemudian pintu bilik dibuka perlahan. Di sebalik daun pintu, berdiri Sofea dengan mata merah dan basah, tangannya masih memegang hujung selendang yang telah renyuk.

"Tak ada apa-apa, Ngah..." suara Sofea kedengaran bergetar. "Tadi Along pergi ziarah kubur... Along sedih..."



Dan sebaik saja kata-kata itu terluah, tangisannya pecah lagi. Nadia segera menarik kakaknya ke dalam pelukan. Kedua-duanya tenggelam dalam tangisan yang tidak perlu penjelasan.

Malam itu, dua beradik itu menangis bersama — seorang meratapi cinta yang dikhianati, seorang lagi menyimpan bimbang yang tak terluah.



---

Peristiwa itu, Sofea simpan sendiri.

Dia tidak pernah memberitahu sesiapa. Bukan pada Helmy, bukan pada Nadia. Bahkan bukan pada keluarga Farid sendiri. Sementelah selepas hari pengkebumian, keluarga Farid langsung tidak menghubunginya. Sepi. Seolah-olah dia tidak pernah wujud dalam hidup anak mereka. Tidak ada ziarah. Tidak ada panggilan. Tidak ada pesan bertanya khabar.

Dan dia… terlalu penat untuk bertanya.

Namun setiap hari, bayangan wanita itu muncul dalam fikirannya. Terus menghantui. Siapa dia? Apa hubungannya dengan Farid?

Akhirnya, setelah berminggu-minggu menyimpan teka-teki itu dalam hati, Sofea mengambil keputusan untuk menghubungi seseorang yang pernah rapat dengan Farid — Azwan, rakan sekerja Farid semasa bertugas di pelantar minyak Pelantar Cendana Alfa.

> “Wanita dekat kubur Farid? Aku tak tahu siapa, Sofea,” suara Azwan kedengaran jujur di hujung talian. “Sejujurnya, aku sendiri dah jarang jumpa Farid kebelakangan ni. Dia dah naik pangkat dua bulan lepas. Sekarang dia dah tak kerja sepenuh masa kat pelantar.”



Sofea terdiam. “Naik pangkat?” soalnya perlahan.

> “Ya… dia dah start kerja dekat pejabat HQ di KL. Tiga minggu kerja di pejabat, seminggu je dia akan turun pelantar. So kami pun dah jarang berjumpa.”



Suara Azwan seperti pisau kecil yang menikam perlahan-lahan. Farid tidak pernah memberitahunya tentang itu. Tidak pernah menyebut tentang pejabat atau kenaikan pangkat. Setiap kali dia bertanya kenapa mereka jarang berjumpa, jawapan Farid tetap sama — “sibuk di pelantar, sayang.”

Kini dia tahu, Farid sudah lama tidak berada di pelantar sepenuh masa.

> “Kenapa dia tak pernah beritahu aku?” bisik Sofea, lebih kepada dirinya sendiri.



Azwan menambah dengan perlahan, “Maaf, Sofea. Aku ingat kau tahu. Aku pun tak fikir panjang masa tu.”

> Berapa banyak lagi perkara yang aku tak tahu tentang Farid?



Soalan itu bermain di benak Sofea sepanjang malam. Dan wajah wanita misteri di tanah perkuburan itu terus membayang dalam ingatannya — semakin jelas, semakin mendalam, semakin menyakitkan.




Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini