Langkah Sofea perlahan menyusuri jalan bertanah merah yang mula merekah dek panas terik beberapa hari ini. Angin kering menyapu wajahnya yang sedikit berpeluh. Dia membetulkan tudungnya, lalu merapatkan pelukannya pada botol mineral besar yang dibawanya dari rumah.
Sudah lima bulan dia setia menziarahi tiga pusara ini — ibu, ayah, dan Farid. Tiga nyawa yang pergi sekelip mata. Tiga kehilangan yang mengubah seluruh arah hidupnya.
Di lubuk hatinya, masih ada sisa harapan… harapan untuk bertemu sekali lagi dengan wanita yang pernah dilihatnya menangis di pusara Farid. Namun sudah berbulan berlalu, kelibat wanita itu tidak pernah muncul lagi. Mungkin hanya satu kebetulan. Mungkin… wanita itu tersalah pusara.
Dan hari ini, Sofea bertekad — dia ingin melepaskan. Melepaskan sangkaannya, prasangkanya, luka yang ditinggalkan tanpa jawapan.
> “Mungkin benar… Farid lelaki yang aku kenal. Mungkin itu cuma salah faham. Mungkin wanita itu hanya menziarahi orang lain.”
Dia tidak mahu terus dihantui curiga. Sepanjang pertunangan mereka, Farid tetap Farid yang dia kenali — lelaki sibuk, pendiam, tapi tidak pernah menyakitinya. Mereka hanya sempat bertemu dua, tiga bulan sekali. Setiap kali Farid datang, dia akan menelefon dahulu. Sofea akan mengambil cuti. Akan memasak hidangan kegemaran tunangnya: asam pedas ikan pari, udang goreng tepung, brokoli tumis cendawan. Jus limau kasturi wajib ada di meja.
Dan selepas makan, Farid akan ke dapur. Kadang hanya membantu mengelap pinggan. Kadang hanya berdiri sambil berbual kosong. Kemudian dia akan minta diri — dan hilang lagi selama dua, tiga bulan berikutnya.
Sofea menghela nafas panjang. Kakinya terhenti.
Ada seseorang.
Dari jauh, dia melihat seorang wanita duduk bersimpuh di sisi pusara Farid. Tangan wanita itu memegang naskhah Yasin, mulutnya terkumat-kamit membaca ayat suci. Hati Sofea berdegup laju.
> “Ya Allah… kalau ini takdir-Mu… kuatkanlah hatiku. Tunjukkan aku kebenaran.”
Langkahnya berat, namun tetap digagahkan. Setiap inci tanah yang dijejaknya terasa seperti mendaki gunung penuh rahsia.
Ketika sudah hampir, Sofea sengaja berdehem perlahan. Wanita itu tersentak sedikit dan menoleh.
Wajah itu… sayu. Mata sembab. Pucat. Namun dia tersenyum.
"Assalamualaikum," ucap Sofea, cuba mengawal getar di suaranya.
"Waalaikumussalam," jawab wanita itu perlahan, hampir berbisik.
“Maaf mengganggu… teruskan bacaan. Saya nak ziarah kubur ibu dan ayah saya.” Sofea menunjuk ke arah dua pusara bersebelahan.
Wanita itu mengangguk dan kembali pada bacaannya. Sofea meletakkan botol air di sisi, dan naskhah Yasin masih erat dalam genggamannya. Tapi dia tidak mampu membuka halaman.
Matanya mencuri pandang.
Wanita itu kini menyiram pusara Farid dengan air mineral kecil dari beg sandangnya. Kemudian ditabur bunga — kelopaknya merah dan putih. Perlahan-lahan dia membongkok, menyentuh batu nisan. Dan di situ… dia menangis.
Tangis yang dalam.
Tangis yang meruntun jiwa.
Sofea terdiam. Jantungnya seperti diramas. Lidahnya kelu. Dia sendiri tidak tahu mengapa air matanya mula menitis. Dia cuba menahan esak. Cuba memulakan bacaan. Tapi tangan menggigil, hela nafas tidak menentu.
Wanita itu kemudian cuba berdiri. Namun kelihatan sukar. Tubuhnya terhoyong-hayang.
Sofea segera bangun.
“Hati-hati,” katanya, sambil menyambut lengan wanita itu.
Wanita itu berpaut padanya. Nafasnya laju.
“Terima kasih… baru tujuh bulan. Tapi anak saya kembar,” jawab wanita itu sambil menepuk perlahan perutnya yang membulat di balik jubah hitam.
Sofea terdiam.
Kembar?
Dia menelan air liur, menahan degup jantung yang makin kuat.
“Kubur siapa…?” soalnya perlahan, walau hatinya hampir pecah dengan soalan itu.
Wanita itu menatap batu nisan di hadapan.
“Kubur arwah suami saya,” katanya.
Dunia Sofea gelap seketika.
Arwah… suami?
Wanita itu menyambung, suaranya perlahan, sayu… “Meninggal masa bertugas di pelantar minyak. Waktu kejadian… saya di Sarawak. Jaga mak saya yang sakit. Seminggu kemudian baru keluarga suami beritahu…”
Sofea tunduk. Tangan menggenggam naskhah Yasin erat. Air mata jatuh setitik demi setitik. Dia duduk kembali di hadapan kubur ibunya, tidak sanggup berdiri lebih lama.
Wanita itu mengucapkan terima kasih, kemudian berlalu.
Langkahnya perlahan… longlai… seperti membawa seluruh beban dunia.
Sofea memandang Yasin di tangannya. Pandangannya kabur. Tapi hatinya lebih kabur daripada segalanya.
> “Farid… siapa kau sebenarnya…?”
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Sofea merebahkan tubuh ke atas katil, bagai kehilangan segala kekuatan yang masih bersisa dalam dirinya. Tubuhnya menggigil halus, hujung tudung yang masih melekat di kepalanya digenggam erat—seerat luka yang mencengkam dada.
Air matanya mengalir deras, namun bukan itu yang paling pedih. Yang paling menyakitkan ialah soalan-soalan yang tidak akan pernah terjawab.
"Kenapa, Farid? Apa salah aku?" bisik hatinya pilu.
"Aku tak pernah sakiti kau... tak pernah sekalipun melukakan hati kau. Aku cinta kau, Farid. Sepenuh hati aku cinta kau. Tapi kenapa kau tipu aku?"
Dadanya bagai dihimpit batu. Nafasnya sempit.
"Aku benci kau, Farid... aku benci kau!"
Sofea menekup wajahnya. Tubir matanya bergetar hebat, lidahnya basah dengan rintihan yang hanya Tuhan dan dinding kamar itu menjadi saksi.
"Aku bukan perempuan tak bermaruah... bukan perempuan jalanan yang kau boleh buang sesuka hati, dan diganti semudah kau tukar pakaian!"
"Kalau kau dah tak suka aku, kenapa kau tak putuskan pertunangan ni dengan cara baik, seperti masa kau hantar rombongan dulu? Kenapa tak jujur... kenapa tak bagitahu saja yang kau dah ada orang lain? Dah tak cintakan aku lagi?"
"Kalau kau berterus terang... aku mungkin tak sebahagia, tapi aku akan terima. Aku masih boleh berdiri. Tapi sekarang... kau tinggalkan aku dalam gelap, kau khianati aku, dan aku terpaksa pikul semua luka ni seorang diri..."
Perlahan-lahan, Sofea bangkit dari katil, langkahnya longlai menuju ke meja solek. Di situ, sekeping gambar Farid tersenyum dalam bingkai kaca—senyuman yang kini terasa palsu, menyakitkan, menghina.
Tangannya terketar-ketar saat menyentuh bingkai itu. Dia merenung wajah lelaki yang suatu masa dahulu menjadi dunia dan harapannya. Kini, hanya tinggal luka dan pengkhianatan.
Dan dalam satu hayunan penuh amarah yang disimpan terlalu lama, dia melontar bingkai itu ke dinding.
PRAANGGG!!!
Kaca berderai. Gambar itu terpelanting ke lantai. Dan pada saat itu, segala harapan dan cinta Sofea juga berkecai, tepat seperti kaca itu—hancur, tidak mungkin kembali seperti sediakala.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Sejak hari di tanah perkuburan itu, sesuatu dalam diri Sofea telah mati.
Dia bukan lagi kakak ceria yang gemar bergurau dengan Adam, bukan lagi wanita tabah yang bersemangat menyusun impian masa depan.
Dia masih bangun awal seperti biasa. Masih menggenggam senduk, mengacau nasi lemak, membakar kek-kek tempahan pelanggan. Tangannya tetap bekerja, tapi jiwanya entah di mana.
Dia tidak banyak bercakap. Senyumannya hilang. Pandangannya sering kosong, seolah-olah tubuhnya ada di dapur, tetapi hatinya jauh… entah di mana terdampar.
Adam tidak bertanya. Dis seperti mengerti luka yang ditanggung oleh kakaknya.
Dia tidak mahu menambah luka yang sedang kakaknya telan diam-diam. Namun dia sentiasa berada dekat—menemani tanpa kata. Mengisi ruang sunyi dengan kehadiran.
Sofea memilih diam, dan Adam memilih untuk faham.
Nadia pula bingung. Dia perasan perubahan kakaknya, tapi tidak tahu punca sebenar. Yang dia tahu, satu demi satu kenangan bersama Farid kini dibuang begitu saja. Gambar-gambar pertunangan mereka yang dulunya tergantung megah di dinding ruang tamu, kini terlipat dan dicampak ke tong sampah.
Bukan itu saja. Sebuah beg tangan berjenama—hadiah daripada Farid—turut menjadi mangsa. Sofea membuangnya ke dalam tong dengan wajah tanpa ekspresi, seolah-olah benda itu menjijikkan.
Nadia memerhati dari jauh.
Saat kakaknya berlalu masuk ke bilik, dia perlahan-lahan menarik keluar beg tangan itu. Dibuangnya sayang. Barang itu masih elok. Tapi dia tahu kakaknya tidak mahu melihatnya lagi.
Dia pegang beg itu seketika. Lalu menyimpan ke dalam almari pakaiannya. Esok, dia akan serahkan pada Kak Mun, cleaner di pejabat Abang Joe. Dia tahu, di tangan Kak Mun, barang itu akan dapat digunakan. Yang penting, ia tidak lagi wujud dalam dunia Sofea.
Sebab Nadia tahu...
Kadang-kadang, untuk sembuh, kita perlu buang semua yang pernah membuat kita percaya.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Pagi itu, seperti hari-hari sebelumnya, kios kecil milik Sofea mula berdenyut kembali.
Ditemani Adam, adiknya yang setia, mereka membuka kiosk itu bersama-sama. Adam memikul raga rotan berisi bungkusan nasi lemak dan mi goreng, manakala Sofea menyusun dulang yang berisi sandwich dan sosej roll — kegemaran murid-murid sekolah yang sering singgah awal pagi.
Kek-kek kecil yang disusun rapi di dalam kotak dibawa masuk ke dalam kiosk untuk disimpan di dalam chiller. Di bahagian kaunter, Sofea menyusun gelas plastik untuk kopi dan jus oren. Mesin minuman dibersihkan, kipas angin dipasang.
Udara di dalam kiosk menjadi segar dan nyaman — cukup untuk memulakan pagi dengan semangat walau hatinya tidak seceria langit pagi itu.
Selesai semua tugas rutin, Sofea mengajak Adam masuk ke dalam kereta. Dia mengunci kiosk terlebih dahulu sebelum kereta mereka meluncur ke arah sekolah.
Setibanya di hadapan pagar sekolah, Adam membuka pintu dan melambai.
“Jangan lupa makan, ya,” pesan Sofea. Adam angguk sambil tersenyum sebelum melangkah masuk.
Sofea menoleh ke arah cermin sisi. Langit pagi yang cerah terasa begitu asing. Dia menghela nafas sebelum memandu semula ke kiosknya.
Sebaik sahaja tiba, dua orang murid sekolah sudah berdiri di hadapan kiosk. Mereka tersenyum ceria melihat kereta Sofea berhenti betul-betul di hadapan.
“Selamat pagi, Kak!” sapa mereka serentak.
“Selamat pagi,” balas Sofea sambil membuka pintu kiosk.
“Kak, saya nak sosej roll dua, sandwich satu, nasi lemak satu.”
Sofea pantas membungkus pesanan itu ke dalam beg plastik. Seorang lagi murid pula menambah pesanan yang sama, cuma ditambah satu mi goreng.
Begitulah rutin hariannya. Selepas menghantar Adam ke sekolah, dia kembali ke kiosk dan mula melayani pelanggan-pelanggannya — kecil dan besar, tua dan muda.
Tak lama kemudian, wajah yang dikenali pun muncul.
“Assalamualaikum, Sofea! Macam biasa, kakak nak kopi dua, mi goreng satu, nasi lemak satu, sandwich satu, dan sosej roll... tiga.”
“Waalaikumussalam, Kak. Sekejap ya, Sofea buatkan kopi dulu. Yang lain tu ambil lah sendiri macam biasa.”
Kak Liza tersenyum dan terus masuk ke dalam kiosk. Tangan sudah biasa mencari bungkusan-bungkusan yang disebutnya tadi.
Tapi mata tuanya sempat singgah ke wajah Sofea.
“Kau sakit ke, Sofea?”
Sofea tersentak kecil tapi cuba mengekalkan senyum.
“Tak, Kak. Sofea sihat saja. Kenapa Kak tanya macam tu? Saya nampak macam orang sakit ke?” soalnya sambil menekan butang mesin kopi.
Kak Liza angguk perlahan.
“Aa... a’ah. Mata Sofea tu sembab. Macam tak cukup tidur. Baru lepas menangis, ke?”
Sofea ketawa kecil — bukan kerana lucu, tapi untuk menutup gelora yang tiba-tiba datang menghimpit.
“Semalam saya tidur lambat sikit, bangun awal pagi pula... nak siapkan nasi lemak dan mi goreng tu.”
“Jangan biasakan diri tidur lewat, Sofea. Nanti awak jatuh sakit. Siang pun awak bukan tidur, kan?”
Sofea hanya menggeleng perlahan. Dia tidak mahu berbohong, tapi tidak mampu menjawab lebih.
Dia hulurkan cawan kopi ke arah Kak Liza.
“Kak… kopi on the house hari ni.”
Kak Liza tersenyum senang.
“Hari-hari on the house. Esok kakak bawa termos sendiri lah.”
Sofea tergelak kecil.
Gelak yang pendek, tapi cukup untuk mengisi ruang hati yang kosong.
Saat itu baru dia sedar, dia sebenarnya sangat perlukan tawa.
Tapi... bolehkah dia ketawa bila luka di dalam tak pernah sembuh sepenuhnya?
Dia pandang ke luar. Murid-murid berlari ke sekolah, ibu bapa berpusu-pusu menghantar anak.
Dan dia... masih di sini. Menyimpan duka di antara roti dan kopi.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Pagi itu suasana agak lengang. Memang kebiasaannya pelanggan akan berkurangan sekitar jam sepuluh pagi. Nasi lemak, mee goreng dan kuey teow goreng biasanya sudah habis sebelum waktu itu.
Hari ini hari Jumaat. Seperti biasa, Sofea menyediakan nasi berlauk ayam masak sweet and sour, daging masak kicap dan ikan masak taucu. Semua nasi berlauk ini dibungkus kemas di dalam bekas kotak khas yang cantik, lengkap dengan pelekat berlogo Sofea’s Sweet & Savoury Corner. Selepas solat Jumaat, kiosnya selalunya akan kembali dipenuhi pelanggan.
Namun, hari ini ada kelainan. Sofea memasak lauk istimewa — Ayam Masak Merah — resipi yang pernah dia hidangkan ketika bekerja di hotel lima bintang dahulu. Masakan itu pernah mendapat pujian daripada pelanggan dan juga bosnya. Dia berharap lauk istimewa ini akan menarik lebih ramai pembeli, dan semua nasi berlauk dapat dihabiskan.
Kadang-kadang, Sofea tidak berniaga pada hari Jumaat kerana menyediakan nasi berlauk untuk disedekahkan di masjid, sebagai amal jariah untuk arwah ibu bapa dan tunangnya.
Tiba-tiba, kelibat Kak Liza muncul di hadapan kios.
> “Sofea… macam biasa ya. Kakak nak nasi berlauk tiga — sweet and sour dua, ikan masak taucu satu… dan jus oren tiga.”
“Baik, Kak. Oh ya… hari ni ada menu baru,” jawab Sofea sambil tersenyum.
> “Lauk apa?” soal Kak Liza ingin tahu.
“Ayam Masak Merah. Sofea bagi kakak rasa dulu. Kalau sedap, Sofea tambah satu nasi berlauk Ayam Masak Merah untuk kakak. Yang ini on the house.”
> “Wah… mesti sedap ni,” kata Kak Liza sambil ketawa kecil. “Kalau on the house tiap hari, murah rezeki Sofea… sihat selalu.”
“Aamiin…” balas Sofea.
> “Oh ya, Sofea… nampaknya rumah kosong sebelah rumah Sofea tu tak lama lagi ada penyewa.”
“Oh ya ke? Kakak kenal siapa?”
> “Tak kenal… tapi owner rumah tu semalam datang. Abang Sham yang cerita. Dia terserempak dengan owner tu waktu nak keluar pergi kerja. Katanya, dua tiga lagi akan ada penyewa baru. Hari ni pun katanya nak bersihkan dalam dan luar rumah, siap cat baru.”
“Eloklah tu… ada juga jiran baru kita nanti,” kata Sofea sambil tersenyum.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Jam menunjukkan pukul tiga petang. Adam sudah siap menyiapkan kerja sekolahnya di kedai Kak Liza. Dia memang lebih selesa belajar di situ. Setiap kali menyiapkan satu tugasan, dia akan membawa buku kerjanya kepada Sofea untuk disemak. Begitulah rutin harian mereka.
Petang itu, Sofea tiba-tiba merasa kepalanya berdenyut-denyut dan perutnya mual. Cepat-cepat dia mengambil minyak cap kapak dari dalam beg tangan, lalu menyapu dan menggosok perlahan di dahi serta pelipisnya.
Ketika itu, Adam datang membawa buku kerjanya.
> “Kenapa, Long? Sakit kepala ke?” tanya Adam sambil menghampiri. Dia memicit lembut dahi Sofea.
“Pandainya Adam…” puji Sofea sambil mencium pipi adiknya.
> “Kalau Along sakit, nanti Adam tak boleh pergi sekolah.”
“Mana ada Along sakit,” jawab Sofea sambil memeluk Adam erat-erat.
> “Tapi kenapa Along letak minyak dan urut kepala?”
“Sakit sikit saja… pening,” balas Sofea, tersenyum untuk menenangkan hati adiknya.
Adam merenung wajah Sofea dengan penuh risau.
> “Betul?”
“Betul, sayang… Along tak sakit,” ujar Sofea sambil mencubit manja pipinya.
> “Along… nasi lemak ada lagi tak?”
“Nasi lemak pagi tadi dah habis semua. Kenapa? Adam lapar ke?” tanya Sofea.
> “Bukan… Adam nak bagi kat kucing. Dia kurus sangat.”
“Ohhh… semua nasi dah habis hari ni, tinggal kek saja,” kata Sofea. “Di mana kucing tu?”
> “Ada dekat kedai Aunty Liza. Adam dah bagi biskut, tapi dia tak nak makan,” jawab Adam.
“Tak apalah… esok Along bawakan ikan untuk kucing tu,” janji Sofea.
> “Ok… jangan lupa tau,” kata Adam sambil tersenyum gembira.
“Ok…” balas Sofea. Kepalanya terasa sedikit lega — mungkin kerana minyak yang disapu, atau mungkin kerana hatinya gembira melihat Adam semakin hari semakin bijak dan penyayang.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Selepas selesai solat Isyak bersama Adam, Sofea merebahkan tubuhnya di atas katil. Kepalanya terasa berat, seolah-olah dibebani sesuatu. Dia mencapai beg tangan yang terletak di sisi, lalu mengeluarkan botol minyak cap kapak.
Sekilas, matanya tertumpu pada Adam yang masih duduk di atas tikar sembahyang, khusyuk menatap sesuatu di tabnya. Tanpa banyak bicara, Sofea mula menyapu minyak itu di dahi dan tengkuknya.
Adam menoleh.
> “Along pening lagi ke?”
Sofea hanya mengangguk perlahan.
> “Nak Adam tolong urutkan kepala Along?” tanya Adam sambil menanggalkan songkok dan mendekati katil.
Tangannya yang kecil dan lembut memicit dahi kakaknya penuh hati-hati. Namun tiba-tiba, Sofea merasa mual. Cepat-cepat dia bangun dan bergegas ke bilik air yang terletak di dalam bilik tidur itu. Dia muntah beberapa kali di singki. Adam mengusap lembut belakang tubuh kakaknya.
> “Along… sakit perut ke?” soal Adam cemas.
Sofea menggeleng, masih menahan rasa tidak selesa.
Apabila rasa mual mulai reda, Sofea keluar dari bilik air diiringi Adam. Ketika itu, Nadia tiba-tiba muncul di ambang pintu. Wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan.
> “Kenapa, Long?” tanya Nadia sambil melangkah masuk dan menghampiri kakaknya yang kini terbaring lemah di atas katil.
“Along sakit kepala… muntah…” jawab Adam dengan suara sebak.
> “Nak pergi klinik ke, Long?” cadang Nadia, sambil tangannya mengurut perlahan kepala Sofea.
“Tak payahlah… sikit saja ni,” balas Sofea, cuba meyakinkan adiknya.
> “Along sakit perut ke?” ulang Nadia.
Sofea menggeleng sekali lagi.
“Sakit kepala… rasa macam gastrik juga,” katanya perlahan.
Comments
Post a Comment