Bab 6 - Seagung Cinta Ini
Sofea membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya masih kabur. Kepalanya terasa ringan, namun seluruh tubuhnya lemah tak bermaya. Dia cuba mengangkat tangan untuk meraba sesuatu yang melekap di dahinya, tetapi tangannya sendiri terasa berat dan longlai.
“Along dah sedar… Alhamdulillah.”
Suara Nadia bergema lembut di tepinya.
“Kenapa, Nad…? Along kat mana ni?” Sofea bertanya dengan suara yang serak dan lemah.
“Along dekat hospital. Semalam Along pengsan… kepala Along sampai berdarah. Along rebah dan terkena bucu meja solek. Along nak ke tandas ke?”
Sofea tidak terus menjawab. Dia masih kabur, kepalanya kosong, sukar mengingat apa yang telah berlaku.
“Mana Adam?” soalnya perlahan.
“Adam kat rumah Kak Liza. Malam tadi dia tidur sana,” jawab Nadia.
“Sekarang dah pukul berapa?”
“Dah pagi, Long. Along pengsan semalam lebih kurang pukul dua belas. Sebelum tu Along muntah-muntah teruk, kata sakit kepala.”
Sofea mengangguk perlahan. Sedikit demi sedikit ingatannya kembali. Dia teringat betapa sakit kepalanya semalam, ditambah dengan serangan gastrik yang membuatnya muntah berkali-kali.
“Adam menangis tengok Along pengsan… dengan dahi berdarah,” ujar Nadia, matanya redup mengingat kejadian itu.
“Dia takutlah tu,” balas Sofea lemah.
“Nasib baik Nad dan Adam tidur sekali dalam bilik Along. Nad tengok Along lemah sangat semalam… sebab tu Nad bawa Adam tidur dengan Along.”
Sofea memandang adiknya. “Kesian Nad… tak pergi galeri ke hari ni?”
“Taklah, Long. Nad dah call Abang Joe, cakap Nad tak kerja hari ni,” kata Nadia sambil menggenggam tangan kakaknya erat. “Along tu yang kesian… kerja teruk. Malam lewat tidur, pagi-pagi bangun sebelum subuh. Hantar Adam ke sekolah, ambil dia balik… urus kiosk lagi.”
Sofea menarik nafas perlahan. “Itu semua tanggungjawab Along, Nad… Along nak pastikan adik-adik Along cukup belanja harian, tak kurang makan, tak kurang keperluan.”
Nadia menggeleng kecil. “Tapi kalau Along jatuh sakit macam ni, siapa nak jaga semua tu? Along bukan robot… badan Along pun ada hadnya.”
Sofea terdiam. Matanya memandang siling putih hospital itu, cuba menyembunyikan rasa sebak.
Nadia menggenggam tangan kakaknya lebih erat. “Nad tengok Along makin susut. Mata pun dah selalu nampak letih. Nad faham Along nak pastikan kami cukup semuanya… tapi Along kena fikir juga, kami lagi perlukan Along sihat daripada Along kerja sampai jatuh macam semalam.”
Sofea tersenyum nipis. “Along okey je, Nad. Cuma semalam tu… mungkin sebab Along penat sangat.”
“Penat sangat tu lah yang buat Along tumbang, Long,” suara Nadia mula bergetar. “Nad takut… malam tadi bila tengok Along rebah, darah kat dahi… Nad rasa macam nak hilang Along. Adam lagi lah, menangis tak berhenti. Kami cuma ada Along sekarang.”
Air mata Sofea menitik tanpa disedari. Dia tidak mahu adik-adiknya bimbang, tapi kata-kata Nadia menusuk terus ke hatinya.
Sofea hanya memandang siling. Syukur, kepalanya kini terasa sedikit ringan, walaupun seluruh tubuh masih lemah dan tidak bermaya. Tiba-tiba, kenangan kepada arwah ibu bapanya menjengah di minda.
Kalau mereka ada, tentu ibu akan memelukku erat, membisikkan doa agar aku cepat sembuh… Hatinya berkata sendiri. Ayahnya pula pasti akan membawanya ke hospital yang lebih selesa daripada tempat ini. Air matanya mengalir perlahan di pipi.
“Long… sakit kah?” tanya Nadia, sambil tangannya memegang dahi Sofea yang dibalut plaster.
Sofea menggeleng perlahan. Dia menggenggam lengan adiknya.
“Nad… nanti pergi ziarah kubur ayah dan ibu. Dah lama sangat rasanya Along tak ke sana.”
“Baik, Long… Nad pun dah lama tak ziarah kubur arwah mak dan abah,” balas Nadia. “Petang ni Nad bawa Adam, ya… boleh?”
Sofea mengangguk. “Jaga Adam elok-elok, Nad. Jangan biarkan dia main dekat kubur orang lain.”
Nadia tersenyum nipis dan mengangguk.
“Kak… doktor dah datang. Boleh tak Nad duduk sini?”
“Boleh saja… kalau doktor suruh keluar, barulah Nad keluar,” jawab Sofea lembut. Dia memegang tangan Nadia, meminta adiknya duduk dengan selesa di sisinya.
Tidak lama kemudian, seorang doktor wanita berbadan kecil dan berwajah ramah menghampiri katil Sofea.
“Selamat pagi,” sapanya sambil mengambil kad rekod pesakit yang tergantung di hujung katil dan meneliti catatan di dalamnya.
“Selamat pagi,” jawab Sofea dan Nadia hampir serentak.
“Puan Sofea… saya nak periksa ya,” ujar doktor itu lembut. Dia meletakkan stetoskop di dada Sofea, mendengar degupan jantungnya, kemudian menekan perlahan di beberapa bahagian kepala dan leher.
Sofea mengerutkan kening. “Sakit… sini…” bisiknya sambil menunjuk pelipis.
Doktor mengangguk perlahan lalu memandang Nadia.
“Dia ada simptom migrain yang agak teruk. Mungkin disebabkan tekanan dan kurang makan. Sekarang kami dah masukkan air untuk elakkan dehidrasi. Dia perlu rehat dalam suasana tenang.”
Nadia menggenggam tangan kakaknya erat. “Bahaya tak, doktor?”
“Buat masa ini tak bahaya, tapi kalau dibiarkan, migrain boleh berulang dan jadi lebih teruk. Pastikan dia ikut waktu makan, minum air cukup, dan elak stres. Kami akan beri ubat tahan sakit serta ubat untuk kurangkan loya.....ok Sofea?" Kata doktor itu dengan senyuman ramah sambil menepuk2 lengan Sofea.
Sofea hanya mengangguk.
Doktor kemudian mencatat sesuatu di dalam kad rekod pesakit. Jururawat mengambil bacaan tekanan darah Sofea dan membisikkan sesuatu kepada doktor, yang hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Sofea masih perlu berada di hospital untuk beberapa hari. Kami mahu pantau kesihatannya, pastikan ubat memberi kesan, dan memastikan dia benar-benar stabil sebelum dibenarkan pulang,” ujar doktor itu sebelum beredar.
Nadia menatap kakaknya. Air matanya hampir tumpah. Dia terus mengusap tangan Sofea, berdoa dalam hati agar kakaknya segera pulih.
“Jaga Adam elok-elok, Nad,” pesan Sofea perlahan. “Jangan bagi Adam makan nugget atau sosej. Air bergas pun tak boleh.”
“Baik, kak,” jawab Nadia lembut.
Comments
Post a Comment