Bab 7 - Seagung Cinta Ini
Hari kedua Sofea di hospital, tubuhnya terasa sedikit ringan walaupun langkahnya masih lemah. Sakit kepala yang selama ini berdenyut-denyut sudah tiada.
Alhamdulillah, bisiknya perlahan.
Dia cuba turun dari katil, tetapi hati masih ragu-ragu. Bimbang terjatuh. Kebetulan, seorang jururawat yang lalu di hadapannya segera datang membantu.
> “Kakak nak ke tandas?” soal jururawat itu.
Sofea menggeleng perlahan.
> “Tak… kakak nak jalan-jalan sikit. Nak ambil udara segar di luar, boleh kan?”
Jururawat itu tersenyum mesra.
> “Boleh saja. Kalau nak, saya boleh ambilkan kerusi roda.”
> “Tak payah… kakak nak jalan sendiri. Lenguh kaki ni, asyik duduk saja.”
> “Baiklah, tapi hati-hati ya. Kalau rasa tak larat, minta bantuan sekuriti.”
Sofea mengangguk, mengucapkan terima kasih, lalu melangkah perlahan menuju taman mini hospital. Deru angin petang menyentuh pipinya. Dia memilih duduk di kerusi kayu di sudut taman.
Tidak jauh dari situ, seorang wanita bersama anak perempuan duduk di kerusi lain. Wajah wanita itu seperti pernah Sofea lihat, cuma dia tidak dapat mengingat di mana. Mungkin pelanggan di kiosnya dahulu. Wanita itu sempat melemparkan senyuman, dan Sofea membalasnya.
Tiba-tiba, kanak-kanak itu berlari ke arah Sofea sambil cuba menangkap buih sabun yang diterbangkan angin. Satu buih hinggap di bahu Sofea.
> “Maaf, aunty,” ujar si kecil sambil tersenyum malu.
> “Tak apa… bukan sakit pun,” balas Sofea lembut.
Wanita itu segera memanggil anaknya.
> “Ida, kan ibu dah kata, nanti kena orang. Maaf ya… anak saya ni memang suka main buih.”
> “Tak apa… comelnya. Siapa nama?” tanya Sofea sambil tersenyum.
> “Nur Faridah Azlia binti Muhammad Farid Azli,” jawab si kecil penuh yakin.
Duggg! Hati Sofea seakan diremukkan sesuatu. Nama itu… Muhammad Farid Azli.
Ya, wanita di hadapannya inilah yang pernah ditemuinya di tanah perkuburan tujuh tahun lalu.
Tubuh Sofea mula bergetar.
> “Anak saya memang macam tu… kalau orang tanya nama, sekali dengan nama arwah ayahnya dia sebut,” kata wanita itu sambil ketawa kecil.
Sofea hanya mampu mengangguk, menahan senyum pahit. Wanita itu kemudian beredar bersama anaknya, meninggalkan Sofea yang kini tenggelam dalam rasa pedih.
Nur Faridah Azlia binti Muhammad Farid Azli…
Sofea memejam mata. Air mata deras mengalir.
Aku sangka aku sudah melupakanmu, Farid. Aku sangka aku sudah berdamai dengan takdir… Tapi hari ini, luka itu berdarah semula. Dan kali ini, ia lebih perit… kerana aku melihat bukti cinta yang pernah kau beri pada wanita lain, kini hidup, membesar, dan membawa namamu.
Sofea menunduk, menangis sepuas-puasnya.
Tiba-tiba, sehelai sapu tangan putih yang masih terlipat kemas dihulurkan kepadanya. Dia menyambut, mengesat air mata, tetapi esakannya tidak juga reda.
Apabila rasa sedikit lega, Sofea menoleh ke arah pemberi sapu tangan itu. Seorang lelaki bertubuh tinggi, berkulit cerah, berambut pendek seperti baru digunting duduk di sisinya, sambil mengunyah popcorn.
> “Dah habis menangis?” soalnya sambil tersenyum lebar, lalu menghulurkan bekas popcorn itu. “Nak?"
Sofea menggeleng.
> “Belum habis? Tak apa… menangislah lagi. Kadang-kadang, kita memang perlu lepaskan apa yang dah lama terbuku atau mungkin bercerita dengan seseorang. Ceritalah pada saya.....saya pendengar yang baik...."
> “Kenapa saya perlu ceritakan pada awak?” tanya Sofea, hairan.
> “Sebab kita tak kenal. Dan mungkin takkan jumpa lagi. Jadi, awak tak perlu takut rahsia hati awak akan tersebar. Saya pun tak tahu siapa awak.”
> “Macam mana awak tahu saya dah lama simpan?”
> “Saya tahu… dari cara awak menangis. Tangisan yang disimpan bertahun-tahun.”
Sofea terdiam. Dia akui kata-kata itu benar.
> “Maaf… sapu tangan ni dah kotor,” ujar Sofea perlahan.
> “Tak apa… saya bagi pada awak. Ikhlas,” balas lelaki itu sambil tersenyum.
Sofea cuba bangun, tetapi tubuhnya terhuyung-hayang. Lelaki itu cepat menegur,
> “Hati-hati. Duduk dulu. Kaki awak masih lemah.”
> “Awak tahu kaki saya lemah?”
> “Saya nampak awak jalan tadi. Tak seimbang.”
Mereka terdiam sebentar.
Akhirnya, Sofea bangun perlahan-lahan.
> “Saya nak balik ke wad.”
> “Baik… cuma ingat, kalau awak tak lepaskan sekarang, nanti awak akan menangis lagi… dan lebih teruk,” pesan lelaki itu sebelum mengiringinya sehingga ke pintu wad.
> “Semoga cepat sembuh,” katanya, lalu beredar.
Comments
Post a Comment