Bab 9 - Seagung Cinta Ini

 Hospital itu tidak terlalu sesak pagi itu. Sofea menolak pintu kaca Jabatan Psikiatri sambil memegang tangan Adam. Bau antiseptik menusuk hidung, bunyinya bercampur antara langkah kaki jururawat dan bunyi kertas fail diselak.


“Nama pesakit?” tanya jururawat di kaunter.

“Muhammad Adam bin Khairuddin,” Sofea menyebut penuh. Jururawat itu mengangguk, lalu berkata, “Doktor akan panggil sebentar lagi.”


Sofea hanya mengangguk sambil duduk di kerusi menunggu. Dia memandang Adam yang khusyuk bermain telefon, cuba menghilangkan debar di hatinya.

Tidak lama kemudian, pintu bilik rawatan terbuka. Seorang jururawat berwajah manis — yang sudah lama dikenal Sofea sejak zaman Dr. Awina merawat Adam — keluar dengan senyuman hangat.


“Adam… handsome boy, jom kita masuk jumpa doktor,” ajaknya sambil mempersilakan Sofea dan Adam masuk ke dalam.


“Duduk dulu, tunggu sebentar ya… doktor sedang semak rekod lama Adam,” katanya lembut sebelum berlalu.


Di hujung bilik, doktor itu duduk membelakangi mereka, khusyuk membelek sebuah fail pesakit. Perlahan-lahan, dia berpusing. Pandangannya jatuh tepat pada Sofea dan Adam.


“Abang Ryann!” jerit Adam teruja sambil meloncat kecil. “Abang doktor, ya?”


“Ya… abang doktor yang akan rawat Adam,” balas Ryann dengan senyuman lebar. Tangannya ligat pula memeriksa sesuatu di komputer.


Sofea terkaku. Dia tidak menyangka akan bertemu lelaki itu di sini. Degupan jantungnya terasa berlari. Malu juga bila teringat usikan nakalnya dulu pada Ryann: ‘Eleh… awak bukan doktor nak rawat saya.’


Tiba-tiba matanya terhenti pada sapu tangan putih yang digenggamnya—sapu tangan yang sudah dibasuh dan diseterika, namun entah kenapa belum juga sempat dipulangkan pada empunya.


“Nampaknya… kita ni berjodoh,” ujar Ryann tiba-tiba, sambil melirik pada sapu tangan itu. Senyumannya membuat wajah Sofea merona merah.


“Asyik kita berjumpa tanpa sengaja,” tambahnya lagi.


“Tapi… tiap pagi awak datang ke kiosk tu. Bukan sengaja, kah?” balas Sofea, cuba berlagak selamba walau senyumannya malu-malu.


“Long… berjodoh tu maksudnya nak kahwin ke?” potong Adam tiba-tiba sambil memegang lengan Sofea.


Jururawat di sudut bilik menahan tawa.


“Bijak Adam,” puji Ryann.


“Isshhh… Adam ni…” Sofea mengusap rambut adiknya itu.


Ryann kemudian memandang skrin komputer. “Sofea Qairina binti Khairuddin, umur 32 tahun. Penjaga kepada Muhammad Adam bin Khairuddin, 10 tahun.”


Sofea mengangguk perlahan. Sesi rawatan pun dimulakan. Ryann berbual mesra dengan Adam, memeriksa kesihatan fizikalnya dan bertanya beberapa soalan kepada Sofea. Setiap jawapan dicatat teliti.


Selesai pemeriksaan, Ryann menepuk bahu Adam. “Semua dah ok. Kesihatan tak ada masalah. Adam kena rajin belajar, ya.” Tanpa diduga, dia menarik Adam ke dalam pelukannya.


Sofea terpempan. Pelukan itu terasa mesra — sesuatu yang hanya pernah dia lihat Dr. Awina lakukan, setelah bertahun mengenali Adam. Tetapi Ryann? Mereka baru bertemu pagi tadi, dan ini kali pertama dia merawat Adam.


“Ok, Cik Sofea… sesi rawatan selesai. Temu janji seterusnya tiga bulan lagi. Kesihatan Adam sangat baik. Pertuturannya jelas, dan dia menjawab semua soalan dengan baik. Tapi kalau Adam tak sihat, terus beritahu saya. Rumah saya… di sebelah rumah Cik Sofea saja. Kita berjiran,” kata Ryann santai.


“Haa? Kita berjiran?” mata Sofea membulat.


Ryann mengangguk. “Saya pun baru tahu bila lihat alamat Cik Sofea di rekod ini.”


Sofea ketawa kecil. “Kenapa saya tak pernah nampak doktor di sebelah rumah tu selama ni?”


“Saya pun tak pernah nampak Cik Sofea… tapi saya selalu tercium aroma ikan bilis tumis, dan bau kek yang wangi,” balas Ryann dengan senyum nakal.


Sofea baru teringat, Kak Liza pernah bercerita tentang jiran baru itu. Rupanya… dia lelaki ini.


“Ini nombor saya. Kalau ada apa-apa, atau perlukan bantuan, hubungi saya,” kata Ryann sambil menghulurkan kad namanya.


Sofea mengambilnya, memasukkan ke dalam beg. “Terima kasih, doktor,” ucapnya hampir berbisik.


“Ok Adam… insya-Allah kita jumpa lagi,” ujar Ryann sambil menghulurkan tangan. Adam menyambutnya, lalu mencium tangan doktor itu dengan hormat.


Sofea dan Adam pun beredar, diiringi pandangan Ryann. Langkah Sofea terasa ringan, bibirnya masih mengukir senyum. Dia tidak sangka… pemuda itu rupanya bukan sekadar doktor Adam — tetapi juga jirannya sendiri.


🔶🔶🔶🔶


Malam itu, setelah semua tugasan di dapur selesai seperti biasa, Sofea duduk bersama Nadia di meja makan. Bau kopi panas memenuhi ruang. Nadia sedang membelek sebuah buku sambil sesekali menghirup kopinya.


“Long nak kopi? Nad buatkan,” ujar Nadia, memandang wajah kakaknya yang tampak letih, namun tetap memancarkan seri yang dimilikinya sejak dulu.


“Tak payah, Nad. Kakak minum air kosong saja. Kakak rasa panas sebab baru siap mengukus nasi lemak tadi,” balas Sofea, sambil mengusap pelipisnya perlahan.


Nadia menutup buku di tangannya, meletakkannya di atas meja. Nada suaranya bertukar serius.

“Long… Along nampak letih sangat akhir-akhir ni. Jagalah kesihatan… nanti Along jatuh sakit lagi.”


Sofea tersenyum nipis, cuba menepis rasa bimbang adiknya.


“Long… apa kata kita pergi bercuti?” cadang Nadia tiba-tiba. “Cuti sekolah Adam tak lama lagi.”


Sofea mengangkat wajah. “Cuti ke mana?” soalnya, nada seperti tidak berminat.


“Kemana-mana saja… asalkan kita boleh hilangkan stress, hirup udara segar,” jawab Nadia dengan semangat.


“Kalau kiosk macam mana?” Sofea separuh bergurau.


“Kiosk tak boleh bawa. Kita bertiga saja,” kata Nadia. Mereka berdua ketawa kecil dengan gurauan itu.


“Tutup kiosk… sayanglah, Nad,” balas Sofea.


“Bukan tutup selama-lamanya pun… seminggu je,” pujuk Nadia.


Sofea menghela nafas. “Nad tahu tak… seminggu tu Along boleh dapat tiga ribu. Malah lebih lagi kalau ada orang order untuk meeting atau majlis.”


Nadia mengangguk. “Nad tahu, Long. Dan Nad tak lupa… dengan duit berniaga di kiosk tu, Along belikan Nad kereta baru masa birthday Nad.”


Sofea tersenyum. “Nad… Along ambil alih tugas ayah dan ibu kita. Along nak adik-adik Along bahagia, cukup pelajaran… dan sentiasa ada dengan Along.”


Kata-kata itu membuat Nadia tersentak. Sebak menjalar di dadanya. Dia sedar, maksud di sebalik kata-kata itu adalah Along tidak akan membenarkannya melanjutkan pelajaran ke Italy.


“Angah tak lama lagi nak balik,” ujar Nadia, cuba menyembunyikan rasa kecewanya.


“Ya, Angah ada call Along hari tu. Mungkin minggu depan dia balik. Harap-harap dia dapat kerja di KL,” kata Sofea dengan senyuman yang tulus.


Nadia hanya mengangguk, matanya kembali ke buku di tangan, namun fikirannya melayang jauh.


“Along masuk tidur dulu lah. Esok nak bangun awal,” kata Sofea, bangun meninggalkan meja.


Selepas langkah Sofea hilang dari pandangan, Nadia menghela nafas panjang. Dia tahu, kakaknya berharap sangat mereka akan terus bersama. Sofea sudah lama menjadi ibu dan ayah bagi mereka, tapi kalau ibu dan ayah mereka masih ada, pasti mereka tidak akan menghalang Nadia ke Italy. Pasti mereka akan membenarkan Angah bekerja di US selepas tamat pengajian.


Semalam, Angah ada beritahu Nadia bahawa dia akan pulang ke Malaysia hanya untuk tiga bulan. Dia sudah mendapat tawaran kerja di US. Nadia tidak tahu sama ada Sofea akan membenarkan Angah pergi. Dia sempat menceritakan pada Angah tentang pertengkaran kecilnya dengan Sofea mengenai hasratnya ke Italy. Angah berjanji akan cuba memujuk Sofea. Malah, katanya, kalau boleh, dia mahu membawa Sofea dan Adam bersama ke US.



Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini