Bab 8 - Seagung Cinta Ini
Pagi itu langit membentang cerah, dihiasi cahaya matahari yang lembut. Udara terasa segar dan nyaman — seolah-olah menyambut semangat baharu dalam diri Sofea. Sudah tiga hari dia keluar dari hospital, dan pagi ini kiosknya kembali beroperasi seperti biasa.
Selepas solat Subuh, Sofea sudah membawa barang-barang niaga ke dalam kios, menyusunnya dengan rapi sambil membersihkan setiap sudut, dari ruang dalam hingga ke bahagian luar. Di dalam kereta yang diparkir berhampiran, Adam setia menunggu sambil memerhatikannya.
Selesai mengemas, Sofea mengunci semula kios, lalu menghidupkan enjin kereta untuk menghantar Adam ke sekolah.
🔶🔶🔶🔶
Sofea kembali membuka kiosknya seperti biasa. Pelanggan pertamanya pagi itu ialah beberapa orang murid sekolah dan dua wanita yang dia kenal sebagai pekerja pejabat. Mereka sudah biasa membeli di situ, malah sempat bertanya khabar apabila mengetahui daripada Kak Liza bahawa kios Sofea sempat ditutup kerana dia dimasukkan ke hospital.
Sofea sedang asyik menyusun kek ke dalam chiller apabila terdengar seseorang memberi salam. Dia menoleh selepas menjawab salam itu.
“Eh… kita jumpa lagi,” sapa seorang pemuda dengan senyuman lebar. Pemuda itu memakai kemeja biru muda lengan panjang Dan seluar slack hitam. Kerja pejabat agaknya atau Cikgu? kata hati Sofea “Awak berniaga di sini rupanya. Semalam saya datang, tapi kios ni tutup.”
“Saya baru mula berniaga semula hari ni,” jawab Sofea. Dia masih mengingati lelaki itu — yang pernah dia temui di taman mini hospital.
“Awak dah sihat?” tanya pemuda itu sambil mencapai beberapa bungkus nasi lemak dan mi goreng.
Sofea tersenyum sambil mengangguk2kan kepalanya, lalu menghulurkan beg plastik kepada pemuda itu.
“Kalau belum sihat… saya boleh rawat,” ujar lelaki itu sambil ketawa kecil.
“Eleh… awak bukan doktor nak rawat saya.”
“Kalau saya doktor.....boleh kan? ” balasnya sambil menjenguk ke dalam kios. “Awak seorang saja ke?”
“Awak nampak ada orang lain ke dalam ni?” balas Sofea selamba.
“Hehehe… saya nak beli kek. Kawan saya kata kek di sini sedap-sedap.”
“Nak kek apa, tuan? Boleh tengok menu ni,” kata Sofea sambil menghulurkan sekeping menu bergambar.
“Eh… janganlah panggil saya tuan. Panggil saja Ryann. Saya tak biasa orang panggil tuan,” katanya sambil meneliti menu. “Saya nak kek coklat… dan awak pilihkan lagi satu yang sedap.”
“Kek velvet dan kek keju pun sedap,” cadang Sofea sambil mengeluarkan beberapa bekas kek dari chiller.
“Ok… ambil dua kek coklat dan dua kek keju,” kata Ryan. “Nama awak Sofea, kan?”
“Ha’ah… macam mana awak tahu?”
“Tu, besar-besar tulis ‘Sofea’s Sweet & Savoury Corner’,” jawab Ryan sambil tersengih. “Patutnya ‘Sweet Sofea’s Savoury Corner’ baru sesuai.”
“Nak kira sekarang?” potong Sofea, tidak mahu melayan celoteh pemuda bernama Ryann itu.
“Aa...ahh ....kira semua. Sekejap lagi kawan saya sampai.”. Kata Ryann sambil melihat jam tangannya.
“RM48 semua,” kata Sofea. "Kek RM7 satu, ya?”
“Tahu… ada tulis kat sini. Nah, RM100.”
“Alah… awal-awal pagi saya tak ada duit kecil nak tukar.”
“Tak apa… tukar dengan duit besar pun boleh,” jawab Ryan sambil tergelak.
Beberapa pelanggan mula beratur di hadapan kios.
“Tak apa, esok-esok pun boleh, puan,” katanya sebelum berlalu dengan senyuman.
Ehhhh.....dia panggil aku Puan pula, kata hati Sofea.
🔶🔶🔶🔶
Malam itu, selepas Isyak, Sofea menyiapkan semua bahan untuk berniaga esok. Sambal nasi lemak ikan bilis sudah siap di dalam sebuah bekas besar, masih berasap kerana baru sahaja diangkat dari kuali. Telur rebus yang telah dikupas disusun rapi sebelum dimasukkan ke dalam peti ais. Timun pula sudah dicuci bersih. Bahan-bahan untuk mee goreng dan kueyteow goreng juga sudah tersedia di dalam peti ais.
Sofea tersenyum dalam hati, bersyukur kerana arwah ayahnya pernah membeli sebuah peti ais besar yang memudahkan dia menyimpan semua bahan mentah dan makanan siap masak. Untuk kek pula, dia membeli dua buah chiller hasil daripada keuntungan kiosnya — satu besar disimpan di rumah, satu lagi kecil untuk di kiosk. Alhamdulillah, semuanya rezeki dari titik peluh sendiri.
Pagi itu, setelah bungkusan nasi lemak, mee goreng, dan kueyteow goreng siap tersusun di atas para kayu, serta kek dimasukkan ke dalam chiller, Sofea memanggil Adam masuk ke kiosk.
Adam sudah siap berpakaian t-shirt biru dan seluar jeans. Dia tahu hari itu dia ada temu janji dengan doktor untuk rawatan berkala. Semalam, dia dan Nadia pergi ke kedai gunting rambut, dan Adam meminta tukang gunting memotong rambutnya seperti gaya seorang remaja lelaki dalam poster di dinding kedai itu.
Sofea tersenyum melihat gaya rambut barunya. Adam semakin membesar dan sudah pandai memilih yang cantik di matanya. Jika dilihat dari luar, dia seperti kanak-kanak normal. Namun bila bercakap, Adam sering mengulang kata-kata dan bersikap terlalu telus serta jujur.
“Hari ni Adam jumpa doktor baru, kan?” Adam bersuara sambil membuka bekas sandwichnya.
“Eh, iya lah Dam. Along hampir lupa… Hari ni bukan lagi doktor Awina,” jawab Sofea sambil meletakkan segelas Milo panas di hadapan Adam.
“Doktor tu baik tak, Long?”
“Along pun belum pernah jumpa dia. InsyaAllah, semua doktor baik,” jawab Sofea dengan senyum.
Beberapa orang pelajar datang ke kiosk. Seperti biasa, mereka memilih sendiri makanan yang mahu dibeli.
“Wah, hari ni Adam handsome boy lah,” kata seorang pelajar perempuan. “Tak sekolah ke hari ni?”
“Tak… Adam ada temu janji dengan doktor. Bukan doktor Awina. Doktor baru. Harap-harap dia baik macam doktor Awina,” jawab Adam dengan polos.
“Hati-hati… Milo tu panas. Asyik bercerita, nanti tumpah pula,” Sofea menegur lembut.
“Baik, Long,” balas Adam sambil tersenyum.
Sofea melihat jam di telefon — 7.05 pagi. Nasi lemak, mee, dan kueyteow goreng semakin berkurangan. Memang makanan itu laris di kalangan pelajar dan suri rumah. Jam 9 nanti, Adam perlu bertemu doktor pakar psikiatri, jadi Sofea merancang untuk berangkat awal dari kiosk.
Tiba-tiba, Ryann muncul di hadapan kiosk. Seperti biasa, pemuda itu tersenyum memandang Sofea, matanya kemudian beralih kepada Adam.
“Assalamualaikum… Adik siapa nama?”
“Adam. Abang siapa nama?”
Ryann ketawa kecil. “Nama abang Ryann,” katanya sambil mengambil nasi lemak, mee, dan kueyteow goreng, memasukkannya ke dalam plastik.
“You are handsome,” puji Adam sambil tersenyum.
“Yes, I am,” balas Ryann dengan ketawa.
“Awak, saya ambil semua ni,” katanya kepada Sofea. “Kawan-kawan pesan. Kek empat… apa-apa pun boleh.”
Sofea mengangguk. “Duit baki awak hari tu masih ada RM52.”
“Awak kira dulu semua ni berapa,” kata Ryann, matanya memandang tepat wajah Sofea yang sedang menekan kalkulator kecilnya.
Ryann....jangan pandang isteri orang, kata hati kecilnya.
Sofea cuba menunduk, mengelak dari membalas tatapan itu. Jangan pandang… dia bukan sesiapa… hatinya berbisik.
“Semua RM58.”
“Nah, RM60. Dua ringgit tu, keep the change,” katanya sambil mengambil plastik berisi kek dari tangan Sofea.
“Eh, awak masih ada baki dengan saya—”
“Tak apa… itu untuk Adam,” potong Ryann sambil melambai-lambai tangan ke arah Adam dan lalu berlalu pergi.
Sofea hanya memandang langkahnya yang semakin jauh. Entah mengapa, hatinya berasa… seolah-olah baru bertemu seseorang yang akan mengubah banyak perkara.
Sofea termenung seketika. Mungkin Rayyan menyangka aku sudah bersuami dan Adam ini anakku.....sebab itu dia tidak banyak berseloroh seperti sebelum ini, bisik hatinya perlahan, terasa ada sesuatu yang berat singgah di dada.
Ya Allah… kenapa dengan hatiku ini?
Sejak sekian lama, sejak pemergian Farid yang meninggalkan luka begitu dalam di relung jiwa, hatinya seakan beku… seakan telah menutup pintu rasa. Namun entah mengapa, hari ini… ada getaran halus yang menyelinap perlahan, mengetuk kembali ruang yang lama terkunci.
Comments
Post a Comment