Hari itu cuaca agak terik. Usai menjemput Adam dari sekolah, Sofea mengambil keputusan untuk singgah sebentar di sebuah restoran berhawa dingin. Dia tahu, sedikit minuman sejuk pasti dapat meredakan keletihan anak kecil itu.
"Along... Adam nak makan pancake," ujar Adam sambil meletakkan beg sekolahnya ke tepi. "Dah lama tak makan pancake."
Sofea tersenyum lalu menyeka helaian rambut Adam yang jatuh ke dahinya. Anak kecil itu kini sudah berusia sepuluh tahun, dan semakin petah menyebut nama makanan kegemarannya.
“Pancake perisa apa, sayang?” soal Sofea sambil membelek menu.
"Nutella. Tak nak peanut butter."
Sofea tergelak kecil. “Eh, dulu bukan main suka peanut butter dengan coklat. Sekarang dah tukar selera?”
Adam mengangguk sambil tersenyum malu. “Adam nak matcha ais juga.”
Sofea mengangkat tangan memanggil pelayan. Selesai membuat pesanan, mereka duduk diam beberapa ketika, menikmati hawa dingin restoran itu.
“Along… lepas ni kita pi tempat Kak Nad, nak?” tanya Adam tiba-tiba.
“Tempat Kak Nad? Mana tu?” soal Sofea, dahi sedikit berkerut.
Adam menggigit bibir. “Adam tak ingat nama... tapi hari Ahad hari tu, Kak Nad bawa Adam pergi sana. Ramai orang. Kak Nad draw.”
Sofea menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah dapat mengagak. Bila Adam menyebut tentang ‘draw’, hanya satu tempat terlintas di fikirannya — bazar seni di Central Market, tempat para pelukis mempamer dan menjual karya mereka.
“Kak Nad bawa Adam ke bazar seni tu, ya?”
Adam hanya mengangguk perlahan, kemudian menunduk. Tangannya menutup mulut seolah menyembunyikan sesuatu.
“Kenapa ni, sayang?” tanya Sofea, melihat air muka Adam berubah.
“Adam tak boleh bagitahu Along... Adam dah janji dengan Kak Nad.”
Sofea mengangguk perlahan, cuba memahami.b
“Kalau Adam bagitahu, Kak Nad marah ke?”
Adam cepat-cepat geleng kepala, tapi wajahnya semakin suram. Matanya mula berkaca.
“Adam dah janji…” suaranya bergetar, dan dia tunduk lebih dalam.
“Sayang…” Sofea memegang tangan kecil anak itu dengan lembut. “Kenapa sampai menangis ni?”
“Adam tak nak mungkir janji…”
“Janji apa tu?” Sofea bertanya perlahan.
“Kak Nad bawa Adam jumpa Abang Joe... Kak Nad lukis sekali dengan dia.”
Dada Sofea terasa berat seketika. Dia kenal lelaki bernama Joe itu — anak kepada seorang usahawan berjaya di ibu kota. Lelaki yang turut menjadi punca kegagalan impiannya untuk menjadikan Nadia sebagai seorang chef suatu ketika dulu.
Sofea tidak berkata apa-apa. Dia hanya menggenggam tangan Adam dengan erat, cuba menenangkan dirinya sendiri.
"Dah ....dah.....jangan menangis." Pujuk Sofea sambil mengelus rambut Adam dengan lembut.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Tiga tahun yang lalu....
Malam itu, suasana di ruang tamu rumah mereka tenang. Hanya bunyi desiran kipas siling menemani perbualan dua beradik itu. Sofea sedang menyusun pelbagai jenis kek untuk dibawa ke kiosknya esok pagi. Tangannya lincah membubuh sticker di atas bekas lutsinar kek-kek tersebut.
"Nad..." panggil Sofea perlahan, matanya masih tertumpu pada helaian stiker di tangannya. "Macam mana keputusan permohonan Nad ambil Kursus Kulinari tu? Ada jawapan?" Tanya Sofea.
"Tak ada Long" kata Nadia.
"Ehh....dah lama rasanya kan? Nad kata Kelas bermula bulan Jun. Ini dah penghujung Julai." Sofea menoleh ke arah adiknya.
Nadia yang sedang melakar di buku lukisannya terhenti. Dia mengangkat wajahnya perlahan. “Along masih harap Nad jadi chef ke?”
Sofea tersenyum nipis. “Bukan harap lagi, Nad. Along yakin Nadia boleh sambung impian Along. Kita bina sama-sama. Arwah mak ayah pun tentu gembira kalau tengok kita usahakan bersama sesuatu macam ni.”
“Tapi itu impian Along…” ujar Nadia lembut. “Bukan impian Nadia.”
Sofea terdiam. Matanya bertembung dengan mata adiknya. Ada kejujuran di situ. Ada keberanian.
“Nadia nak jadi pelukis, Along. Dunia Nadia... penuh dengan warna, garis dan cerita di atas kanvas. Bukan periuk dan senduk.”
“Tapi Along dah rancang semua ni untuk kita...” nada Sofea mula bergetar. “Along buat semua ni sebab Along sayangkan Nad. Along nak tengok Nad berjaya.”
“Dan Nad pun sayangkan Along,” balas Nadia sambil bangun dan duduk di sisi kakaknya. “tapi Nad tak nak hidup dalam bayang impian orang lain. Nad nak capai sesuatu yang benar-benar buat Nad bahagia.”
Sofea tunduk. Hatinya berkecamuk. Dia mahu yang terbaik untuk adiknya, namun akhirnya dia sedar — dia sedang menanam benih cita-citanya dalam tanah yang tidak subur untuk benih itu.
“Nadia pun bukan bersendirian,” sambung Nadia perlahan. “Abang Joe banyak bantu Nadia. Dia ajar teknik, dia bimbing dan selalu beri semangat. Tanpa dia, mungkin Nadia tak berani perjuangkan cita-cita sendiri.”
Nama itu menambah pilu dalam dada Sofea. Joe — lelaki itulah yang baginya menjadi penghalang kepada cita-citanya untuk menjadikan Nadia seorang Chef.
"Angah tetap dengan keputusan tu?" soal Sofea, suaranya tegas, hampir bergetar. “Along cuma nak Angah fikir masak-masak. Dunia pelukis tu kecil, Angah. Terhad pada kanvas, galeri dan mereka yang faham seni. Tapi kalau Angah jadi chef, kita boleh buka kafe. Ramai orang datang. Orang makan tiap hari, Nad. Bukan tengok lukisan tiap hari.”
Nadia merenung kakaknya. Matanya tajam, suaranya bergetar menahan sebak. “Nad tahu itu impian Along. Sejak dulu. Tapi takkan kerana Along nak capai cita-cita Along, Nad yang kena korbankan cita-cita Nad?”
“Along tak suruh Nad berkorban,” balas Sofea cepat. “Along cuma nak Nad berjaya. Dalam hidup ni, bukan semua impian boleh bawa kita ke mana-mana.”
"Along… kita semua ada impian. Tapi janganlah kerana Along nak berjaya, Along sanggup tolak tepi impian orang lain. Jangan kerana nak bina hidup sendiri, Along bunuh impian dan cita-cita Nad” kata Nadia dengan suara rendah tapi tegas.
Sofea terdiam. Kata-kata itu menikam tepat ke dadanya. Tapi dia tetap cuba mempertahankan pendiriannya.
“Along tak fikir macam tu, Nad. Along cuma tak nak tengok Nad kecundang.”
Nadia menggeleng, matanya berkaca. “Kenapa Along selalu anggap jadi pelukis tu akan kecundang? Berapa ramai artis yang berjaya? Yang hidup mewah hasil seni mereka? Kenapa cita-cita Along je yang layak digelar kejayaan?”
Sofea memandang adiknya dengan pandangan sukar ditafsir. Dia tahu adiknya itu — keras hati, berprinsip. Bila Nadia mahukan sesuatu, tiada siapa yang mampu mengubah fikirannya.
Namun kata-kata seterusnya dari Nadia benar-benar menggoncang hati Sofea.
“Along jadi chef pun tak ke mana juga…” Nadia berkata perlahan, tapi jelas. “Masih jual nasi lemak dekat kiosk. Ke mana duit tiga ratus ribu yang Abah bagi tu? Sampai sekarang, kafe pun tak nampak bayangnya.”
Sofea terkedu. Dada terasa bagai ditumbuk. Pandangannya menikam wajah Nadia yang sudah mula tersenyum sinis.
“Nad… jangan tanya pasal duit tu lagi. Along tahu apa Along buat.” Suara Sofea dingin, hambar. Tanpa menunggu balasan, dia berpaling dan melangkah ke dapur, menyambung kerja memasak sambal nasi lemak — satu-satunya warisan cita-cita yang masih tinggal dalam genggamannya.
Mata Sofea berkaca. Hatinya luluh. Dia hanya nak yang terbaik buat semua adik-adiknya.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Comments
Post a Comment