Bab 16 - Seagung Cinta Ini
Sambil menyusun pinggan, sudu dan garfu di atas meja makan, fikiran Sofea melayang jauh. Tangannya lincah bergerak, tetapi hatinya… entah ke mana. Pagi tadi, pertemuannya dengan Rayyan masih segar dalam ingatan — tentang rindu lelaki itu pada kedua-dua orang tuanya, tentang Abang Joe yang dikatakan mahu datang merisik, dan tentang hubungan Rayyan dengan Abang Joe yang masih menjadi tanda tanya di fikirannya.
Ada sesuatu yang Sofea rasa Rayyan sembunyikan daripadanya. Sesuatu yang membuat hatinya berdebar tanpa sebab.
Nadia yang sedang menuang air sirap limau ke dalam jag, sempat mengerling ke arah Alongnya. Wajah Sofea tampak tenang, tapi renungan mata itu memberitahu segalanya — ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran wanita itu. Kata hati Nadia, Alongnya sedang menyimpan sesuatu yang belum sedia dikongsikan.
Helmy pula datang dari dapur sambil berhati-hati membawa bekas sup ayam panas yang masih mengepul asap. Perlahan-lahan dia meletakkannya di tengah meja, kemudian menarik nafas lega.
“Along masak nasi ayam Hainan ke hari ni?” tegur Nadia sambil menuang air ke dalam gelas.
Sofea sekadar mengangguk perlahan sambil tersenyum nipis.
Helmy yang duduk bersebelahan Nadia tiba-tiba bersuara, nada usikannya membuat Sofea berpaling. “Tau tak permintaan siapa tu?” katanya, bibirnya melukis senyum penuh rahsia.
Sofea menjelingnya sekilas sambil menepis perlahan lengan adiknya itu. Pipi Sofea merona merah, jelas tidak mampu menyembunyikan sesuatu.
“Siapa, Long?” Nadia mencelah, keningnya terangkat, senyuman mula terbit di bibirnya.
“Adalah…” jawab Helmy sambil ketawa kecil, sengaja dibiarkan teka-teki itu tergantung.
Nadia memandang Helmy tajam sebelum matanya beralih kepada Alongnya. Senyumannya makin lebar. “Doktor Rayyan kah?”
Helmy hanya mengangguk sambil tersengeh-sengeh, seolah-olah baru berjaya membongkar rahsia besar.
“Doktor Rayyan nak datang makan sini ke?” soal Nadia lagi, suaranya berbunga-bunga, penuh harapan nak tahu lebih.
“Ehhh… taklah,” jawab Sofea cepat-cepat, cuba menutup rasa segannya. “Tadi Angah dah hantar pun nasi ayam tu pada dia.”
Nada suaranya tenang, tetapi jauh di sudut hati, Sofea sedar dia tak mampu menipu dirinya sendiri. Setiap kali nama Rayyan meniti di bibir mereka, debaran di dadanya semakin kencang.
Adam yang duduk di sebelah hanya memerhati tanpa memahami apa-apa. Sofea menarik kerusi kecil untuknya lalu mengusap rambut adik bongsunya itu.
“Adam makan elok-elok nanti, ya,” ucapnya lembut, cuba menutup kegugupannya dengan melayan adik kecil itu.
Namun, jauh di dalam hati Sofea, bayang Rayyan kembali menyapa. Kata-katanya pagi tadi, senyumannya, dan pandangan matanya yang redup… semuanya masih jelas. Dan entah kenapa, setiap kali dia cuba menafikan perasaan itu, semakin kuat pula ia mengetuk pintu hatinya.
Ketika semua sudah duduk di meja makan, suasana rumah itu terasa damai. Helmy memimpin doa makan dengan suara yang perlahan tetapi jelas. Setiap butir kata doanya menenangkan hati, seolah-olah membawa keberkatan ke segenap ruang.
“Aamiin…” mereka mengaminkan serentak.
Sofea segera menyenduk nasi ke pinggan Adam yang duduk di sebelahnya. Anak kecil itu tersenyum ceria sambil memandang lauk-pauk yang terhidang di atas meja — ayam Hainan yang harum, sup panas yang masih berasap, dan sayur segar yang digaul sederhana.
“Along… Adam nak ayam, tapi jangan letak sos, ya,” pinta Adam dengan nada manja, jemarinya menunjuk ke arah ayam yang sudah dihiris kemas.
Sofea tersenyum, mengangguk perlahan. “Baiklah, adik Along… ayam tanpa sos.”
Dia mencapai sepotong ayam, meletakkannya dengan cermat ke dalam pinggan Adam. Tangannya penuh kelembutan, seolah-olah sedang melayani permintaan yang paling istimewa di dunia.
“Terima kasih, Along,” ujar Adam sambil memandang kakaknya dengan mata bulat yang bercahaya.
“Sama-sama, sayang,” balas Sofea sambil mengusap kepala adiknya itu dengan penuh kasih sayang.
Di sisi mereka, Nadia dan Helmy saling berpandangan sambil tersenyum kecil, menyaksikan cara Sofea menjaga Adam seperti seorang ibu menjaga anaknya sendiri. Walaupun hidup mereka penuh cabaran, kehangatan keluarga itu masih utuh terpelihara di meja makan sederhana itu.
“Along… Nad nak kahwin dulu sebelum ke Itali.” Tiba2 Nadia bersuara
Ayat itu bergema di telinga Sofea. Tangannya yang memegang sudu terhenti seketika, matanya memandang adik bongsunya itu dengan rasa terkejut. Helmy di sisi hanya tunduk, seolah-olah tidak mahu menyampuk, namun sudu di tangannya bergerak perlahan menyuap nasi ke mulut.
“Bila?” tanya Sofea, suaranya sedikit bergetar walau cuba dikawal.
“Sebelum puasa,” jawab Nadia tenang, bibirnya melukis senyum nipis. “Lepas raya nanti, Nad terus mula kelas.”
“Ramadan tak lama lagi,” celah Helmy yang akhirnya bersuara, pandangannya singgah pada Nadia. “Lagi sebulan lebih je, Nad.”
Nadia sekadar mengangguk. Ada sinar keyakinan pada wajahnya, sesuatu yang membuat Sofea kian diam. Jauh di sudut hati, dia cuba menelan rasa yang berbaur antara gembira, terkejut, dan… gusar.
Sofea teringat kembali perbualannya dengan Rayyan pagi tadi — tentang Abang Joe yang ingin datang merisik. Hatinya tiba-tiba jadi berat. Banyak hal berlaku serentak, terlalu pantas, dan dia belum sempat mengejar nafas.
Sofea cuba menyembunyikan gelodak itu dengan melayan Adam. Dia menyenduk sup ayam panas ke dalam mangkuk kecil dan meletakkannya di hadapan adik bongsunya itu.
“Adam makan ya… sup ni masih panas,” ucapnya lembut sambil mengusap kepala Adam. Anak kecil itu hanya mengangguk sambil tersenyum kecil, kemudian meniup perlahan kuah supnya.
Sunyi seketika meja makan itu, hanya bunyi sudu berlaga dengan pinggan. Namun akhirnya Sofea bersuara, cuba memecah kebisuan.
“Banyak hal yang Nad tak bagitahu Along, kan?” soalnya perlahan, tapi nadanya cukup untuk membuat Nadia terhenti mengunyah.
Nadia menoleh perlahan, wajahnya tenang, seolah-olah sudah menjangkakan soalan itu. “Hal apa, Long?”
Sofea menarik nafas dalam sebelum bersuara, kali ini nadanya lebih rendah, seperti menyimpan sesuatu yang berat.
“Rayyan tu… anak saudara Abang Joe.”
Helmy yang sejak tadi diam kini memandang Nadia dengan senyum penuh makna, seolah-olah ada rahsia kecil yang mereka kongsi bersama.
“Angah pun tahu, ya?” tanya Sofea dengan kening berkerut, matanya bergilir memandang Helmy dan Nadia.
Helmy hanya ketawa kecil sebelum mengangguk. “Baru je tahu… Nad bagitahu Angah pagi tadi.”
“Ya, Long… Nad pun baru tahu.” Nadia menambah perlahan, cuba meyakinkan Alongnya.
Sofea mengangguk, walaupun hatinya masih terasa sesuatu yang sukar diungkap. Dia meneruskan suapannya, cuba menelan perasaan yang berserabut di dada.
Suasana kembali sunyi. Hanya bunyi kipas siling yang berputar perlahan menemani makan malam mereka. Namun jauh di sudut hati Sofea, seribu persoalan berlegar tanpa jawapan. Tentang Nadia. Tentang Rayyan. Tentang Abang Joe. Dan tentang masa depannya sendiri.
Akhirnya, Sofea memecahkan kesunyian sekali lagi, suaranya kedengaran lembut tetapi penuh dengan beban yang tersembunyi.
“Bila Abang Joe nak datang?”
Nadia tersenyum, memandang Sofea dengan mata yang bersinar-sinar, seolah-olah membawa berita bahagia.
“Kalau Along setuju… bila-bila pun Abang Joe boleh datang.”
Sofea terdiam lama. Jantungnya berdegup kencang, seolah-olah seluruh hidupnya bakal berubah dalam sekelip mata.
🔶🔶🔶🔶
Malam semakin larut. Hujan renyai-renyai di luar menimbulkan aroma tanah basah yang menusuk ke ruang rumah kecil itu. Di dalam bilik, Sofea duduk di hujung katil sambil memeluk lutut, memandang kosong ke arah tingkap yang sedikit terbuka. Langit gelap, hanya cahaya samar bulan yang bersembunyi di balik awan kelabu.
Sejak makan malam tadi, fikirannya tidak pernah tenang. Kata-kata Nadia tentang perkahwinan datang bertimpa-timpa bersama dengan berita tentang Abang Joe yang mahu datang merisik. Dia rasa seperti ditolak ke satu persimpangan hidup yang belum bersedia dia tempuhi.
Sofea menarik nafas dalam-dalam. Dalam diam, dia memandang telefon bimbit di sisi katilnya. Namanya tertera di skrin mesej terakhir — Rayyan. Dia belum sempat membalas mesej petang tadi.
> “Sofea, kalau ada apa-apa hal tentang kafe, beritahu saya ya. Jangan segan.”
Dia membaca mesej itu berulang kali, dan setiap kali namanya tertera di hujung mesej, hatinya berdetak lebih kencang. Sofea mengeluh kecil. Dia benci mengaku pada dirinya sendiri, tapi sejak Rayyan hadir, jiwanya tidak pernah sama.
Namun, ada sesuatu tentang hubungan Rayyan dan Abang Joe yang membuatnya gusar. Sofea tidak pasti kenapa, tapi setiap kali nama Abang Joe disebut, hatinya berasa berat. Mungkin kerana semuanya berlaku terlalu pantas. Atau mungkin kerana dia takut kecewa sekali lagi.
Dia bangun perlahan, berjalan ke meja solek dan memandang wajahnya di cermin. Matanya kelihatan letih, namun redupnya tidak mampu menyembunyikan keresahan yang bersarang.
“Sofea… kau nak ke mana sebenarnya?” bisiknya pada diri sendiri.
Hatinya masih dibalut luka lalu. Wajah Farid tiba-tiba menyapa fikirannya — lelaki yang pernah dia cintai, lelaki yang dia sangka akan menjadi pelindungnya. Namun kebenaran yang terbongkar selepas kemalangan itu masih menusuk jiwanya. Kecurangan Farid, bayi yang dikandung wanita lain… semuanya masih membekas.
Dia menggenggam kuat hujung laci meja solek, cuba menghalau rasa sakit yang datang menyerbu. “Jangan jatuh lagi, Sofea. Jangan…” bisiknya, seolah-olah memujuk hatinya sendiri.
Ketukan perlahan di pintu membuatnya tersentak. Suara Nadia kedengaran sayup dari luar.
“Along… Nad boleh masuk?”
Sofea segera menarik nafas dan cuba menenangkan diri. “Masuklah, Nad.”
Nadia duduk di kerusi meja solek sambil memandang bayang wajahnya sendiri di cermin. Jari-jemarinya menggenggam erat hujung kain baju kurungnya. Sementara itu, Sofea duduk di birai katil dengan wajah penuh tanda tanya.
"Ada apa, Nad?" tanya Sofea lembut, matanya memandang adiknya yang nampak serba salah.
Nadia tunduk. Nafasnya terhela panjang, seolah-olah sedang mencari kekuatan untuk bersuara.
"Maaf kalau Nad salah cakap… tapi Nad rasa… Along tak suka Abang Joe datang merisik."
Kata-kata itu membuat Sofea terdiam. Tiada jawapan yang terluah. Hatinya terasa sesak. Mungkin inilah masanya untuk berterus terang dengan Nadia tentang sebab sebenar dia kurang senang dengan lelaki itu.
Nadia memandang kakaknya yang hanya berdiam diri. Dia menelan liur, cuba memecah kesunyian.
"Tadi Nad dah telefon Abang Joe. Katanya… kalau Along tak keberatan, mereka nak datang hujung minggu ni. Hari Ahad."
Nada suara Nadia perlahan, namun jantungnya berdebar kencang menanti jawapan Sofea.
"Ramai ke yang nak datang?" soal Sofea akhirnya.
"Abang Joe… isterinya… dan Doktor Rayyan."
Sofea mengangkat wajah, keningnya bertaut rapat.
"Dengan… isterinya?" soalnya, nada suaranya sarat dengan rasa terkejut.
Nadia mengangguk perlahan.
"Nad… awak dengan Abang Joe dah gila ke?" Sofea memandang adiknya dengan mata yang terbeliak, suaranya sedikit meninggi.
"Kenapa, Long?" suara Nadia serak, matanya mula berkaca. "Abang Joe kata… isteri dia yang nak sangat datang hari Ahad ni."
Sofea meraup wajahnya, cuba menahan rasa tidak percaya.
"Nad… janganlah cakap yang awak nak kahwin dengan Abang Joe."
Nadia terdiam. Nafasnya jadi tidak teratur. Perlahan-lahan, air mata menitis di pipi.
"Kenapa, Long… Along tak suka kalau Nad kahwin?" suaranya tersekat-sekat.
Sofea segera bangun, melangkah ke arah Nadia dan merangkul bahu adiknya dengan penuh kasih.
"Nad… Along bukannya tak suka Nad kahwin," Sofea mengelus rambut adiknya lembut, "tapi… bukanlah dengan Abang Joe. Dia dah ada isteri, Nad. Umurnya lebih dua kali ganda daripada Nad. Macam ayah kita dah…"
Sofea menarik nafas panjang, suaranya bergetar.
"Along tak sanggup dengar orang bercakap yang bukan-bukan pasal Nad. Along tak nak orang kata adik Along penyondol… Along tak nak orang pandang rendah pada Nad, walaupun dia orang kaya…"
Mendengar itu, Nadia menekup wajahnya pada dada Sofea. Tangisnya pecah, teresak-esak. Namun dalam tangisnya, tiba-tiba terdengar bunyi tawa kecil.
Sofea menarik diri sedikit, memandang adiknya dengan wajah penuh tanda tanya.
"Nad… kenapa ni? Awak menangis ke ketawa?"
Nadia mengesat air matanya, tapi tawanya semakin jelas.
"Along… kenapa Along fikir Nad nak kahwin dengan Abang Joe?" soalnya sambil tersenyum di antara sisa air mata.
Sofea tergamam.
"Habis tu… bukan ke Abang Joe nak datang merisik?"
Nadia ketawa kecil, memegang tangan Sofea erat-erat.
"Ya, Along… tapi bukan untuk Nad kahwin dengan dia. Abang Joe dan isterinya nak datang merisik Nad… untuk Arie."
"Arie?" kening Sofea terangkat, matanya membulat. "Siapa Arie?"
"Arie tu anak Abang Joe… sepupu Doktor Rayyan." jelas Nadia sambil tersenyum manis. "Sekarang Arie di Itali. Dia ada galeri seni di sana. Sebab tu Aunty Kamalia, isteri Abang Joe, nak uruskan pertunangan cepat… supaya bila Nad sambung belajar di Itali nanti, semuanya dah selesai."
Sofea tergamam beberapa saat sebelum memeluk adiknya erat-erat. Air matanya menitis deras tanpa mampu ditahan.
"Ya Allah, Nad… maafkan Along. Along sangka… Nad nak kahwin dengan Abang Joe."
Nadia membalas pelukan itu dengan senyuman lembut.
"Bukan salah Along, Long… Nad yang tak pernah sebut nama Arie pada Along, kan?"
Dua beradik itu berpelukan erat. Tangisan dan ketawa bercampur menjadi satu. Dan dalam diam, Sofea terasa beban yang menghimpit dadanya selama ini perlahan-lahan terangkat.
Comments
Post a Comment